17Julai2018

PRU14: Kerja keras untuk menang besar

Jentera Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras untuk meningkatkan bilangan kerusi dimenangi seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sesiapa pun calon yang dipilih pada PRU-14, setiap ahli perlu memastikan parti menang besar.

"Setiap orang mesti menerima sesiapa yang dipilih sebagai calon dengan hati terbuka. Ramai layak, tetapi hanya calon berpotensi, yang memberikan keutamaan kepada rakyat menjadi kriteria paling penting yang kita dahulukan.

"Saya tahu ramai calon berasakan mereka adalah pilihan terbaik, tetapi saya percaya, parti membuat pilihan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN), Hulu Terengganu di Kuala Berang, pada Khamis.

Zahid, berkata calon perlu memiliki keyakinan tinggi, berikutan beberapa masalah mungkin timbul ketika nama calon bertanding diumumkan kelak.

"Saya tidak mahu berlakunya 'chah keting'. Keputusan dibuat adalah berdasarkan input dan penyelidikan.

"Apabila diumumkan nanti, senarai calon adalah muktamad dan jentera parti mesti menerima keputusan berkenaan. Jentera parti mesti bekerja keras untuk memastikan BN menang besar," katanya.

Zahid turut mengimbau insiden kekalahan BN pada pilihan raya 1999, yang mana PAS hampir menyapu bersih 28 kerusi yang dipertandingkan. BN hanya menang empat kerusi ketika itu.

Sambil memetik manifesto BN yang dilancarkan Pengerusi BNi, Datuk Seri Najib Razak, Zahid berkata, rakyat tidak seharusnya ragu dengan kemampuan BN untuk menunaikan janji yang dibuat.

"Apabila 99 peratus daripada manifesto dijanjikan pada PRU-13 lalu berjaya dilaksanakan dan oleh itu, rakyat tidak harus berasa ragu terhadap kebolehan BNmemenuhi janji dalam PRU-14.

"Manifesto kita akan mengubah negara untuk menghadapi cabaran masa depan. Ia bukan 'dedak' atau gula-gula," katanya.

Zahid turut mengumumkan, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi pembinaan ibu pejabat polis daerah di Kuala Berang, sebelum Parlimen dibubarkan.

Selain itu, kerajaan juga meluluskan pembiayaan bagi pembinaan sebuah masjid di Kampung Pasir Dula bernilai RM4 juta.

Terdahulu, Zahid mengadakan mesyuarat tertutup selama 30 minit bersama anggota jawatankuasa UMNO Hulu Terengganu di ibu pejabatnya di Kuala Berang.-13/4/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 440  tetamu dalam talian