20September2018

PAS optimis AMANAH tidak bertahan selepas PRU14

Kepimpinan utama PAS menolak dakwaan bahawa AMANAH akan menjadi ancaman utama kepada parti itu di masa akan datang.
 
Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, beliau menjangkakan parti serpihan PAS itu tidak bertahan lama dan akan berkubur pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).
 
Ini kerana majoriti kepimpinan utamanya terdiri daripada bekas pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan di Muktamar tahun lalu, dan dasar perjuangan parti itu juga masih kabur disamping gabungan dalam Pakatan Harapan.
 
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah,“Saya tidak melihat PAN ini boleh pergi jauh dalam politik negara. Pada jangkaan saya mungkin setakat Pilihanraya Umum (PRU) 14 sahaja. Lepas PRU mungkin akan hilang. Dia akan jadi macam Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia), Hamim (Parti Hizbul Muslimin Malaysia) atau Akim (Angkatan Keadilan Insan Malaysia),” katanya dalam wawancara yang disiarkan di Mingguan Malaysia, Ahad.
 
Namun begitu, Amar berkata PAS tidak akan memandang rendah akan seteru politiknya walaupun diwujudkan dalam platform yang sama, yakni berlandaskan Islam.
 
“Bagi kita (PAS) semua yang melawan kita merupakan ancaman yang berpotensi. Kita tak pernah merendah-rendahkan mana-mana lawan politik kita. Kita buat penilaian dan tinjauan setakat mana mana ancaman itu. Besar atau kecil, serius atau tidak, jelas Amar lagi.
 
Manakala bagi Ketua Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad kewujudan AMANAH adalah berlandaskan kepada kekecewaan sesetengah bekas pemimpin PAS dalam merebut jawatan dalam parti pada muktamar yang lalu.
 
Malah menyifatkan kewujudan AMANAH langsung tidak memberikan kesan kepada PAS.
 
“Hingga sekarang mereka belum ada dasar dan matlamat yang jelas dalam perjuangan dan bekas ahli-ahli PAS yang menyertai PAN mengikut maklumat yang kita terima tidak sampai 5,000 orang.
 
“Pada pandangan saya, kewujudan PAN tidak akan memberi kesan yang besar kepada PAS,” kata Mahfodz.
 
Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemudanya Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menafikan PAS menggunakan pendekatan Islam yang keras berbanding AMANAH yang disifatkan mendepani Islam secara lebih lembut dalam menegakkan hukum Islam.
 
“Tidak betul kata PAS bawa Islam secara keras dan AMANAH pula lunak. PAS bawa Islam yang sederhana, sederhana pada ukuran agama bukan pada ukuran otak manusia. Manusia juga guna otak melampaui nilaian Al-Quran dan hadis.
 
nik-abduh-pagoh“AMANAH bawa Islam cara dia, rakyat akan nilanya nanti, macam UMNO, mereka dengan dakwaan masing-masing. PAS sentiasa menyeru kepada rujukan sebenar iaitu Al-Quran dan Sunnah,” kata Ahli Palrimen Pasir Puteh itu.
 
Perkara itu merujuk kepada perkembangan terbaru Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang diterima untuk dibentangkan di Dewan Rakyat Khamis lalu.
 
Bagaimanapun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon menangguhkan usul meminda Akta 355 berkaitan hudud walaupun rang undang-undang persendirian (RUU) itu diberikan keutamaan untuk dibahaskan.
 
Ia bertujuan bagi memberi peluang ‘masa’ kepada ahli Parlimen.- 29/5/2016
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 358  tetamu dalam talian