11Disember2018

Mesir dan misteri pesawat MS804

Apabila dikhabarkan bahawa kapal terbang Egypt Air MS804 hilang, ingatan pada trauma penerbangan MH370 datang kembali. Dalam media, tersiarlah wajah-wajah sanak saudara menangis sedih di lapangan terbang Kaherah dan Paris.

Pihak Mesir menyatakan bahawa serpihan yang ditemui di Laut Mediterranean, 290 kilometer (km) dari Iskandariah dinyatakan sebagai milik pesawat MS804.

Laut Mediterranean tidaklah seluas Lautan Hindi di mana MH370 hilang. Mungkin sebab itu MS804 lebih mudah ditemukan daripada MH370. Tetapi andaian tetap bukan fakta.
Pihak Mesir bagaimanapun menyatakan bahawa kemungkinan besar, MS804 terhempas kerana perbuatan keganasan dan bukannya kesilapan teknik.

Angkatan tentera laut dari Mesir, Greece, Perancis, Turki dan Britain menjalankan operasi pencarian di Pulau Karpathos, milik Greece. Penumpangnya 66 orang, 30 rakyat Mesir dan 15 rakyat Perancis.

Kehilangan pesawat Egypt Air ini berlaku selepas dua peristiwa yang mencabar keyakinan terhadap penerbangan Mesir, baik berkaitan dengan Egypt Air mahupun penerbangan asing yang mengadakan perkhidmatan dengan destinasi Mesir.

Dua bulan lalu, penerbangan Egypt Air MS181 dirampas oleh seorang penumpang yang mendakwa memakai tali pinggang mengandungi bom. Pesawat terbang itu mendarat selamat di Cyprus dan perampas itu didapati bukan seorang pengganas dan bom itu adalah palsu.

Peristiwa lebih besar ialah pada Oktober tahun lalu apabila sebuah jet Rusia meletup selepas meninggalkan pusat peranginan Mesir, Sharm El-Sheikh dengan 225 orang terbunuh. Pengganas Islamic State (IS) mengaku melakukannya.

Maka ketika menunggu hasil siasatan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku pada MS804, adalah mudah untuk membuat kesimpulan bahawa ia dilakukan oleh pihak pengganas khususnya IS. Walaupun setakat ini belum ada maklumat muktamad.

Apabila berlaku kejadian seumpama ini maka spekulasi yang dibuat sudah dapat diagak. Maka persoalannya bukan setakat terhadap kapal terbang berkenaan dengan syarikat penerbangannya, Egypt Air tetapi juga lapangan terbang di mana pesawat ini berlepas. Maka dalam hal ini tentulah Paris, Perancis.

Kerajaan Perancis pun sudah menyatakan bahawa siasatan turut dilakukan untuk menilai sama ada berlaku perlanggaran perlindungan keselamatan di lapangan terbang di sana. Apa yang lebih menjadi tumpuan ialah hakikat bahawa Paris sebelum ini merupakan sasaran siri letupan bom oleh IS.

Maka apa yang perlu diputuskan adalah apakah punca MS804 menemui ajalnya. Jadi kotak hitam menjadi tumpuan dalam pencarian operasi yang sedang dibuat di Laut Meditteranean. Seharusnya kotak hitam tidak sukar untuk dijumpai lebih-lebih lagi serpihan dan mayat sudah ditemui. Sekali lagi ini adalah andaian bukanlah fakta.

Apa pun keadaannya, nasib MS804 ini diandaikan akan menambahkan lagi malang kepada Mesir. Khususnya terhadap ekonominya, melalui industri pelancongan. Ini kerana pengurangan kedatangan pelancong ke negara itu. Sedangkan pelancongan merupakan industri penting bagi Mesir. Ini andaian, bukan fakta.

Tetapi ia merupakan andaian yang mudah disahkan melalui perangkaan kedatangan pelancong. Dari sudut pihak pengganas pula, sememangnya itu tujuannya. Iaitu untuk melemahkan ekonomi Mesir supaya pemerintahannya juga gagal.

Apabila sampai isu politik, maka boleh dibincangkan apa itu Mesir. Bagaimana negara yang mengalami banyak peristiwa malang dalam sejarahnya bukan saja selepas berlaku Arab Spring dan kegagalan usaha untuk demokrasi tetapi juga sebelum itu, dilihat sejak ditubuhkan Republik Mesir, yang pernah bernama Republik Arab Mesir dan Republik Arab Bersatu.

Kalaulah IS adalah kumpulan yang benar-benar melakukan keganasan menjatuhkan kapal terbang, maka diandaikan pula bahawa anggotanya terdiri dalam kalangan orang Mesir sendiri.

Tetapi pihak yang memusuhi pemerintah Kaherah bukan saja golongan pengganas seperti IS dan al-Qaeda, tetapi kumpulan-kumpulan demokratik baik kalangan Islamis demokrat seperti Ikhwanul Muslimin mahupun golongan sekular dan kiri.

Tetapi mereka tidak mengangkat senjata. Golongan militan di Sinai ada yang hanya menyasarkan pihak tentera, tetapi tidak kurang pula yang mengganas, mencari pelancong sebagai sasaran.

Jadi rakyat Mesir yang terpaksa hidup dalam kesusahan sama ada apabila pihak penentang kerajaan melakukan kegiatan ataupun pemerintah di Kaherah tidak berupaya mengisi harapan rakyatnya.

Tetapi sukar untuk meletakkan Mesir terasing daripada masalah yang dihadapi oleh Timur Tengah. Mesir adalah sebahagian daripada Timur Tengah, dunia Arab dan benua Afrika. Semua sudut geopolitik ini beri kesan pada Mesir.

Pada masa ini konflik terbesar di Timur Tengah dan dunia Arab ialah Syria. Apa yang berlaku di Syria tercetus daripada Arab Spring, yang pernah membawa kejayaan demokratik sementara di Mesir sebelum digagalkan oleh pihak tentera melalui rampasan kuasa.

Arab Spring adalah fenomena dunia Arab. Kebangkitan ini berlaku di negara-negara yang kebanyakannya diperintah oleh kediktatoran satu parti iaitu Tunisia, Libya, Mesir, Syria dan Yaman.

Mereka ini pula kebanyakannya merupakan hasil rampasan kuasa pihak tentera ke atas pemerintah beraja. Sementara pemerintah beraja ini muncul daripada penjajahan British dan Perancis yang melakar bentuk dunia Arab selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniah.

Pihak tentera nasionalis kiri yang menggulingkan raja-raja mereka di Mesir, Libya, Sudan, Syria dan Iraq bersama Yaman Selatan pernah berusaha menubuhkan Republik Arab Bersatu pada tahun 1960-an dahulu tetapi gagal.

Semangat dan usaha ini antara lain adalah kerana reaksi dan rasa tidak puas hati mereka terhadap penubuhan Israel di atas bumi Palestin. Maka berlakunya keganasan hari ini tidak dapat dipisahkan daripada isu Palestin.-23/5/2016 -UTUSAN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 380  tetamu dalam talian