28Jun2017

Kisah Tun Dr Mahathir selepas lapan tahun bersara...

SENTUHANNYA sama seperti dulu ketika masih menjadi Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad atau lebih dikenali sebagai Che Det di kalangan mereka yang rapat dengannya, kelihatan sibuk menulis sesuatu di mejanya ketika saya masuk ke pejabatnya di Tingkat 86, Menara Berkembar PETRONAS baru-baru ini.

Sambil tersenyum lebar beliau membuka kata: “Terima kasih kerana ingin tanya great ideas saya,” ujarnya sebaik saja saya duduk. Di belakangnya kelihatan Menara 2 PETRONAS yang dikelilingi panorama yang diselaputi jerebu pagi Khamis lalu.

Tun berpakaian baju kolar ala-Nehru berwarna kelabu kegemarannya, memang sentiasa bersedia untuk menjawab apa juga soalan yang dikemukakan, sejak dari dulu lagi. Malah beliau tidak pernah menghampakan wartawan walau di mana beliau ditemui ketika menjadi Perdana Menteri. Beliau juga mempunyai perwatakan sederhana dan tidak berubah sama seperti dulu.

Pengawal peribadinya juga dulu, yang diketuai Pak Ali, sentiasa mesra dengan wartawan ketika Tun menjadi Perdana Menteri dan tidak banyak menghalang tugas mereka. Dua daripada pengawal peribadinya, Pak Mail dan Fadilah masih berkhidmat bersama Tun hingga sekarang.

Tun nampak sibuk sekarang, macam dulu juga, tanya saya memula perbincangan.

“Memanglah saya ada banyak program,” katanya sambil menunjukkan kertas yang mempunyai senarai padat atur cara yang perlu dihadirinya sepanjang hari.

“Saya juga selalu ke luar negara. Kalau nak jumpa selalu mungkin susah sikit,” ujarnya. Selain di Menara Berkembar PETRONAS,

Tun Dr Mahathir juga berurusan secara bergilir-gilir di beberapa pejabatnya yang lain di Yayasan Kepemimpinan Perdana di Putrajaya, Pejabatnya di Perusahaan Automobil Nasional (PROTON) di Shah Alam dan Yayasan Keamanan Global Perdana di Bangunan AlBukhary Kuala Lumpur.

Teringat saya pada kata-kata seorang pegawai Yayasan Keamanan Global baru-baru ini, Tun selalunya tiba di pejabat pada jam 8 pagi sedangkan mereka mula bertugas sejam kemudian. “Kadangkala rasa segan juga bila sampai beliau sudah ada di pejabat,” katanya mengungkapkan komitmen bekas Perdana Menteri itu terhadap tugasnya.

Tanpa membuang masa saya terus mengajukan pertanyaan. Pembantu khasnya, Sufi Yusof duduk tidak jauh di sebelah kanan saya dan memerhatikan bosnya diwawancara.

Tun nampaknya masih ramai peminat, di mana-mana pun ramai hendak minta Tun tanda tangan buku, risalah atau lain-lain. Ada yang hendak bergambar dengan Tun?

Sambil tersenyum lebar beliau menjawab: “Saya gembira kerana di Malaysia pemimpin masih boleh berjumpa, bergaul dengan rakyat. Kalau di negara lain, jadi saja ketua kerajaan terputus hubungan kerana takut, rakyat kadang-kadang bertindak ganas.

Di Malaysia ketika jadi Perdana Menteri pun saya boleh pergi ke pasar raya untuk membeli barang dan orang datang berjumpa, bersalam apa semua. Sekarang ini pun macam itu, ini satu keistimewaan di Malaysia”.

Biarpun soalan itu mungkin berbunyi biasa saja, bukan berkaitan isu dasar atau perkara berat, namun Tun tetap memberi jawapan dengan teratur dan nada tegas. Pemikirannya juga tajam dengan apa juga persoalan yang diajukan.

Betulkah Tun saya dengar di pejabat Tun di Putrajaya masih ada banyak buku yang tunggu untuk ditandatangani. “Saya pun ada bawa buku hari ini”.

Sambil ketawa, beliau berkata memang setiap hari ada berpuluh-puluh buku untuk ditandatangani. “Tak apalah saya sign juga kalau orang sudah hantar kerana depa berhajat. Tapi kena ambil masa sikitlah, sebab lenguh tangan hari-hari sign sampai berpuluh-puluh. Sikit-sikit itu bolehlah”.

Kenapa Tun tulis memoirs ini?

“Saya sudah putuskan (untuk tulis) dari dulu lagi masa saya masih kerja lagi. Dulu pun saya fikir ada baiknya saya rekod pengalaman saya, sebab saya berpendapat bahawa baik buruknya orang boleh tahu, jadi yang mana saya buat salah mereka boleh elak. Kalau benda yang saya buat itu menguntungkan kerana sudah lama kita dapat tahu hasilnya, orang boleh juga dapat pelajaran sikit-sikitlah.”

Tetapi Tun walaupun sudah lapan tahun bersara, masih ligat pergi sini sana, macam tidak tahu duduk diam. Mana datangnya kekuatan dalam diri Tun?

“Alhamdulillah, saya sihat tetapi sakit itu adalah juga seperti sakit jantung. Saya ada juga sikit-sikit kencing manis apa semua tapi saya jaga, saya jaga diet, saya dapat tidur cukup, saya sederhana bila makan, tidak langsung lebih dan saya buat juga senaman supaya kita mesti jaga badan.

“Tetapi yang lebih utama saya tidak hisap rokok dan saya tidak minum (arak). Ini sumbangan yang besar. Kalau kita hisap rokok, saya ingat sekarang ini paru-paru saya macam abulah. Macam abu rokok, kalau kita belah tengok hitam.

“Orang tidak tahu, saya biasa tengok, sebagai doktor saya biasa buat bedah siasat dan tengok paru-paru orang hisap rokok itu hitam, masuk abu. Paru-paru kita bukan untuk abu, tetapi angin bersih. Jadi alhamdulillah saya tidak hisap rokok, tetapi kita tidak boleh tahu, kalau hendak sakit, akan sakit jugalah.

Apa Tun ada makan apa-apa vitamin ke?

“Saya makan vitamin, saya ambil suplemen. Saya fikir bila kita sudah berumur sikit, kita perlu suplemen sebab makanan kita variety tidak cukup dan makan pun tidak banyak. Dulu masa muda saya boleh makan dua pinggan pun boleh habis, sekarang setengah pinggan pun tidak boleh. Cukuplah berasa kenyang. Pengambilan itu kurang.”

Nasi kandar tidak makan ke?

“Nasi kandar makan tetapi bukan selalulah, kena jaga-jaga sikit. Nasi lemak pun seminggu sekali, jaga-jaga sikit.”

Soalan saya seterusnya ada kaitan dengan soal peribadi sikit, mengenai Teater Muzikal Tun Dr Mahathir. Tun sudah pergi tengok ke, ada adegan tertentu agak melucukan apabila Tun mula mengenali Tun Dr Siti Hasmah, bawa jalan di tepi pantai?

Sambil ketawa dan mungkin tidak menyangka ada orang akan bertanya soalan sedemikian, beliau pun menjawab: “Yalah, itu pementasan... pementasan biasanya tidaklah tepat sangat, nak bagi jadi cerita barangkali. Saya terima kasih ada orang nak pi tengok pun. Saya pada mulanya ingat siapa hendak pergi tengok Mahathir. Tidak ada apa pun. Tetapi nampak dia orang pandai sekarang. Pementasan sekarang saya dapati semakin lama semakin baik di Malaysia sejak kita ada Istana Budaya.”

Tun, baru-baru ini UMNO sambut ulang tahun ke-65. Apa pesanan Tun kepada ahli UMNO untuk perjuangan mereka seterusnya?

“Balik pada asal. Kita berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Kita bukan berjuang untuk diri sendiri. Tetapi kalau kita berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air, insya-Allah kita akan mendapat kemudahan, tidak ada orang yang boleh katakan dia tidak dapat apa pun daripada perjuangan UMNO. Dia dapat, anak dia dapat biasiswa, dia dapat kerja, ada saja yang mereka dapat.

“Jadi kalau kita fikir hendak berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air, kita tidak berjuang untuk diri sendiri, akhirnya kalau kita berjaya, percayalah kita akan mendapat sesuatu untuk diri sendiri. Mungkin tidak menjadi Perdana Menteri, mungkin tidak menjadi Yang Berhormat tetapi yang lain-lain dapat juga.”-18/5/2011 -BERITA HARIAN


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 742  tetamu dalam talian