23Oktober2017

Keranda diraja dari pokok cendana mati beragan...

Tukang mahir terbaik di Thailand bekerja keras selama berbulan-bulan membuat reka bentuk dan membina keranda diraja yang akan digunakan dalam Upacara Persemadian Diraja mendiang Raja Bhumibol Adulyadej hujung bulan depan.

Keranda diraja yang dihiasi dengan hiasan dan diukir halus itu diperbuat daripada pokok cendana yang telah mati tetapi pohonnya masih tegak (mati beragan), kayunya berbau harum dan dianggap membawa tuah oleh penganut Buddha dan sering digunakan dalam upacara keluarga diraja.

“Keranda diraja itu diperbuat daripada 12 batang pokok cendana yang telah mati tetapi pohonnya masih tegak. Ia ditebang di Taman Negara Kui Buri, di Prachuapkhirikhan,” kata pegawai daripada Jabatan Seni Halus kepada media baru-baru ini.

Keranda itu mempunyai 132 lambang garuda, dedah pegawai tersebut iaitu satu daripada ciri terpenting yang terdapat pada keranda diraja.

Media tempatan dan asing diberi peluang, yang jarang diberi sebelum ini, oleh Jabatan Perhubungan Awam kerajaan untuk melawat Jabatan Seni Halus, yang diberi amanah untuk membuat reka bentuk dan membina keranda diraja, di sini baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, sekumpulan tukang mahir sedang sibuk membuat kerja-kerja kemasan peringkat akhir dengan amat teliti pada keranda diraja yang beradun itu, kira-kira sebulan sebelum ia digunakan dalam Upacara Persemadian Diraja.

Pada November tahun lepas, media tempatan melaporkan satu upacara khas berlangsung di Taman Negara Kui Buri untuk memohon restu daripada ‘penjaga' pokok cendana itu, sebelum ia ditebang dan dibawa keluar dari hutan, diproses dijadikan papan untuk keranda diraja itu.

Upacara khas itu yang diuruskan oleh sami Buddha dianjurkan Biro Kerabat Diraja Thailand.

Upacara bersejarah Persemadian Diraja akan berlangsung selama lima hari bermula 25 Oktober dan jasad baginda akan menjalani upacara persemadian dengan cara dibakar di Krematorium Diraja di Sanam Luang, yang terletak berdekatan dengan Istana Agung pada 26 Oktober.

Raja Bhumibol yang digelar raja berjiwa rakyat kerana kesungguhan baginda membawa pembangunan untuk rakyat dan memelihara kebajikan mereka, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Siriraj di sini pada 13 Okt tahun lepas pada usia 89 tahun, setelah menduduki takhta selama 70 tahun.

Baginda adalah raja kesembilan Dinasti Chakri.

Sejak kemangkatan baginda, jasad Raja Bhumibol ditempatkan di Dewan Singgahsana Dusit Maha Prasat, yang terletak di Istana Agung, menghadap Sungai Chao Phraya, dengan setiap hari puluhan ribu rakyat memberi penghormatan terakhir dalam barisan panjang tanpa mengira keadaan cuaca.

Upacara Persemadian Diraja, yang dianggap bersejarah bagi Thailand itu juga menandakan berakhirnya tempoh berkabung rasmi selama setahun.-18/9/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 717  tetamu dalam talian