25Oktober2014

Kalimah ALLAH, Pas jadi tikus

pakatan-rakyat-bendera
Lazimnya, ahli politik yang tidak pernah memegang jawatan kerajaan, lebih-lebih lagi dari pembangkang, begitu ghairah apabila dilantik menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Bermula hari pertama, tidak ada lain diperkatakan melainkan dialah sahaja yang jauh lebih pandai buat kerja berbanding bekas MB atau KM dari parti kerajaan.

Tapi akhirnya bila menyedari pentadbiran kerajaan di peringkat tertinggi bukan macam mendayung sampan di permukaan tasik tenang,  tempoh yang kononnya mahu diperjuangkan untuk membangunkan negeri dan memperjuangkan nasib rakyat digunakan pula untuk mengatur strategi politik bagi menutup segala pekong yang sudah semerbak dihidu rakyat.

Perbuatan seperti ini adalah taktik terdesak terakhir yang masih ada untuk digunakan bagi mempertahankan kedudukan dan jawatan menjelang PRU13. Walau tidak pernah dilahirkan secara terbuka, namun jauh di lubuk hati mereka tentu berkata, "sekiranya ahli politik kerajaan sendiri boleh hilang jawatan MB, KM atau menteri dan timbalan menteri, inikan pula mereka."

Dalam konteks ini Lim Guan Eng misalnya, kembali menimbulkan semula isu kalimah ALLAH yang pernah mengeruhkan politik tanah air suatu ketika dulu. Siapalah Guan Eng untuk berkata hal seperti ini. Dia bukan seorang pakar agama apatah lagi beragama Islam.

Namun, Guan Eng tidak ada banyak pilihan. Mahu tidak mahu inilah cara terbaik untuk cuba alih perhatian umum pada masalah yang membelenggu DAP.

Kegagalannya memakmurkan Pulau Pinang dan melaksanakan janji memperbanyakkan rumah kos rendah pada rakyat miskin terus jadi isu politik di negeri itu. Justeru bagi umat Islam, mereka bukannya sudah lupa dengan isu-isu yang ditimbulkan DAP lebih-lebih lagi masyarakat Melayu di Pulau Pinang, tetapi merasakan belum lagi sampai masa bagi mereka bertindak.

Kalau adapun tindakan, ia hanya kenyataan dalam kain rentang serta demonstrasi kecil-kecilan. Tindakan selanjutnya dan muktamad sudah tentulah kertas undi yang kiraannya tidak lagi memihak kepada lambang roket.

Apa pun isu terbaru yang dicetuskan Guan Eng baru-baru ini mengundang pelbagai pertanyaan. Isu itu sepatut tidak lagi menjadi isu setelah semua pihak bersetuju untuk menggugurkan sebarang tuntutan.

Dengan Guan Eng mempermodal semula isu ini diambang penutupan tirai 2012 dan ketika PRU13 kian menghampiri, ia boleh memberi erti beliau mahu menarik sokongan puak Kristian, khusus di Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri ini merupakan fixed deposit buat BN, justeru ia harus dipecah bagi memudahkan rancangan DAP dan regunya menguasai Putrajaya.  

Penyakit menggunakan agama atau isu agama untuk mendapatkan kelebihan politik dan sokongan yang menjadi trademark Pas selama ini nampaknya sudah mula menjangkiti DAP. 
    
Agak malang puak pembangkang yang bersidang, tidak lama dulu, secara tergempar menerima penggunaan kalimah ALLAH. Ketua Pembangkang yang rapat dengan fahaman pluralisme macam memberi lampu hijau.

Sebab itu Pengerusi DAP negeri Perak Ngeh Koo Ham dalam twit terbaru berkata "marilah kita bersama-sama memastikan isu penggunaan ALLAH tidak dijadikan isu pilihan raya, malah Pas telah pun membuat keputusan perkataan ALLAH boleh digunakan oleh bukan Islam.”

Pas nampaknya cuba menjarakkan diri dari terbabit sama ada dengan berdemonstrasi atau mengeluarkan kenyataan membidas kerana takut dipandang serong oleh pencetusnya. Pengerusi Pas negeri Datuk Saleh Man menafikan ahli-ahli Pas turut berdemonstrasi membantah keceluparan Guan Eng tempoh hari.

Isu yang kini dilihat menguji sikap ahli-ahli di peringkat akar umbi berhubung kerjasama Pas dan DAP menampakkan kebimbangan di peringkat atasan. Hadi dan Nik Aziz Nik Mat mengambil jalan selamat dengan kurang memberikan komen. Mereka sedar projek Putrajaya bersama DAP dan PKR bakal menjadi cerita sebelum tidur.

Pas yakin jika ahli-ahli mereka turut berdemonstrasi, implikasinya ia boleh menakutkan pengundi-pengundi Cina. Biar satu atau seratus demonstrasi membantah, Guan Eng, Pas mesti mengelak daripada terbabit.  

Sebab itu dalam hal ini Presiden Pas dan timbalannya tidak kelihatan serta menjauhkan diri dari isu berkenaan. Tapi kedua-duanya lupa di peringkat akar umbi, ahli-ahli Pas berasa kecewa pucuk pimpinan menjadi macam seekor tikus apabila berdepan Guan Eng.

Ia memberi gambaran DAP seolah-olah ada lesen memperlekeh Islam dan Pas pula terus membisu.-5/1/2013 -SinarHarian

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 815  tetamu dalam talian