23Oktober2014

HKR menguntungkan Pembangkang atau sebaliknya?

Tak sampaipun setahun, PDRM kemb ali mendapat penghargaan dari pembangkang kerana berjaya memastikan demonstrasi atau lebih tepat Himpunan Kebangkitan Rakyat minggu lalu berjalan licin. Tidak ada insiden yang meletakan negara seperti yang sering digambarkan—police brutality, merujuk kepada tindakan polis terhadap penunjuk perasaan. Setengahnya menganggap ia suatu yang lucu kerana seperti dalam kes Bersih 3.0, mereka menolak nasihat polis.

Demonstrasi haram itu walaupun berjaya menarik liputan negatif media asing, ia juga memberi gambaran pembangkang telah mengekploitasi situasi tersebut bagi kepentingan mereka. Harapan mereka meraih political mileage rupa-rupanya menyedarkan banyak pihak bahawa demonstrasi aman yang dijanjikan sebenarnya hanyalah helah bagi menarik jumlah hadirin.

Maka dengan sebab itu crowd berbangsa Cina yang pada awal tertarik menyertai demonstrasi aman bertukar dengan memilih menjauhkan diri. Buktinya seperti yang kita lihat dalam perhimpunan Samsidar tempoh hari.

Bagi media barat, good news ialah bad news bagi mereka. Justeru jika tidak ada rusuhan maka ia bukan ada nilai berita. Buang masa bagi mereka menghantar wartawan dan jurukamera untuk membuat rakaman.Sekadar merakam ucapan Anwar Ibrahim, ia bukanlah seperti yang mereka harapkan. Selama ini mereka merasakan Malaysia berdepan kebangkitan rakyat ala Arab spring. Tapi kali ini nampaknya mereka telah terpedaya dengan pembangkang Malaysia.

Apapun salah satu kebolehan yang ada pada Pembangkang ialah mengada-adakan cerita atau memperbesar-besarkan isu. Dan hal ini mereka dilihat cuba mempermodal media asing bagi memenuhi agenda songsang mereka terhadap negara membangun seperti Malaysia.

Bagi mereka, Malaysia menunggu masa mengulangi apa yang berlaku di Mesir. Pendek kata pertukaran regim yang menjadi agenda barat hampir membuahkan hasil jika tidak kerana kebijaksanaan pihak PDRM. Memang ada unsur-unsur provokasi, tetapi PDRM sama ada tidak menghiraukan atau melayan hal-hal seperti itu atau mengambil tindakan alternatif yang tidak memperlihatkan sebarang tindakan berbentuk fizikal yang boleh ditafsirkan sebagai ganas oleh pihak Pembangkang atau juga media asing.

Melalui Akta Perhimpunan Aman 2012 yang digubal dan diluluskan di Parlimen, kerajaan memberi kelonggaran kepada sesiapa saja untuk berhimpun. Syaratnya mereka harus terlebih dulu memberi jaminan agar pehimpunan dapat berjalan dengan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Inilah yang berlaku minggu lalu apabila syarat polis dipatuhi.

Kini sama ada perhimpunan tempoh hari perhimpunan menjelang PRU ke13 ataupun perhimpunan bagi menghalang Shamsidar Taharin menjadi saksi S.Nallakaruppan,bekas rakan tennis Anwar yang menghadapi tindakan saman rakannya, atau apa saja, ia bakal menjadi sejarah baru. PDRM tidak lagi dilihat sebagai penghalang mereka yang mahu mengadakan perhimpunan aman.

Berbanding perhimpunan kali ini, pihak penganjur memilih stadium merdeka dari jalan-jalan raya. Perhimpunan ini juga mencatat rekod apabila jumlah yang hadir jauh lebih ramai dari demonstrasi Bersih 3.0. Dengan jumlah kehadiran yang begitu besar, pihak polis sepatutnya berdepan dengan masalah, tetapi PDRM telah berjaya mengawalnya dengan cemerlang.

Pihak penganjur nyata gembira hasil perhimpunan. Ini turut dikongsi Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak yang berkata”terima kasih kepada pembangkang walaupun saya tak bersetuju dengan mereka, kerana telah menghormati semangat akta itu.”

Kini pembangkang gagal mempermodal perhimpunan tempoh hari. Ia mungkin menang dari segi saiz kehadiran yang datang namun kemenangan itu bukan bererti matlamat mereka berjaya. Sasaran mereka untuk mengembeling satu juta orang hadir di ibu kota gagal membuahkan hasil. Psywar pembangkang di Perak yang nak bawa 100,000 ahli hadir pada hari itu jauh panggang dari api.

Boleh dikatakan cerita yang paling menarik buat pembangkang ialah kehadiran atau penyertaan yang begitu ramai hari itu. Soalnya berapa ramai? Timbalan Presiden PAS Mat Sabu begitu teruja sehingga menganggar 500 ribu hadir.

Biarpun kita bukannya nak menjadikan isu crowd sebagai isu asas, namun untuk rekod, boleh dikatakan hampir semua media arus perdana menggunapakai angka dari PDRM yang menyebut peserta himpunan hari itu 45,000 orang.

Ia lebih baik dari demonstrasi haram anjuran Bersih 3.0 tempoh hari yang menganggarkan 30,000 hadir. Seperti biasa mereka yang pro pembangkang mempersoal angka sebenar sehingga angka PDRM disebut sebagai tidak masuk akal.Tentu sekali mereka lebih tertarik angka yang menyebut 500,000. Ada juga yang menyebut 150,000 orang--80,000 dalam stadium,manakala bakinya diluar-- dari angka rasmi PDRM iaitu 45,000. PDRM mungkin tersasar kerana angka 45 ribu terlalu kecil dari angka 80,000 yang ditwitnya pada mula.


Pihak polis dalam twitnya menganggarkan 80,000, kemudian mengubah angka itu kepada 40,000, kemudian kini angkanya disebut 45,000. Bukan senang nak mengira jumlah yang hadir tanpa menggunakan tiket. Mereka yang datang bukannya membeli tiket terlebih dulu. Nasib baik penaja konon menyediakan wang saku kepada kumpulan mereka serta kenderaan seperti bas. Peserta yang hadir hanya dikenali melalui pakaian iaitu baju t- kuning. Serban dan jubah tidaklah seramai mereka yang memilih t-shirt tertera perkataan Bersih. Kalau bukan kerana logo Pas, hijau dan putih, peserta perhimpunan dijangkakan hanya dari PKR.

Perhimpunan kali ini juga mencetuskan persoalan yang sukar kita beri jawapan. Ramai sedar perhimpunan kali ini tidak ramai disertai orang-orang Cina dan masyarakat India . Kebanyakan adalah wajah sawo matang. Dalam demonstrasi Bersih 3.0, kita dapati ramai disertai orang-orang Cina serta juga dari kaum Inida. Selain dari turut memakai t-shirt berwarna kuning sebagai menyokong Bersih, mereka datang berkumpulan dan berjalanpun dalam kumpulan. Tidak ada lelaki atau wanita Cina berjalan sendirian.

Kita dapati kelibat orang Cina tidak seramai yang dijangkakan. Tiga suku penduduk di ibu kota terdiri dari orang-orang Cina. Penyertaan mereka kali ini jauh lebih rendah dari semasa mereka menyokong Bersih dan Ambiga. Ia memberi gambaran HKR anjuran Pakatan Rakyat tidak mendapat sokongan kaum Cina. Kalau ada yang hadir, ia boleh dibilang dengan jari. Bagi mengelabui mata masyarakat dunia, ada mak chik-mak chik bertudung labuh memegang sepanduk berlambang roket. Aneh tapi mereka merasa bangga dapat mendekatkan diri dengan perjuangan DAP.

Seperti disebut sebelum ini, pengundi-pengundi Cina ibarat ubi yang diam-diam berisi berbanding diam-diam pengali buat orang Melayu.Dalam PRU ke12, pengundi Cina yang selama ini “diam-diam ubi” memperlihat klibat mereka. DAP nyata pihak yang beruntung.Mungkin dalam Bersih 3.0 dulu ada agenda dan tuntutan-tuntutan tertentu, secara langsung atau tidak, yang melibatkan kaum Cina dan India tetapi dalam Perhimpunan Shamsidar ini, ia tidaklah menjurus ke arah mana-mana tuntutan spesifik kaum.

Tuntutan HKR adalah tuntutan biasa yang tidak begitu bersifat revolusionier dan tidak ada yang baru tentang tuntutan itu. Malah ia boleh dilihat sebagai alasan untuk berhimpun. Lagipun kerja berhimpun dan berdemonstrasi adalah kegiatan yang paling digemari oleh Pembangkang, terumata PAS yang cukup instrumental dalam dalam perhimpunan Sabtu lalu apabila Mat Sabu memikul kepercayaan sebagai Pengerusinya.

Justeru, sekiranya Pembangkang melihat kejayaannya dalam bentuk apa sekalipun sebagai petanda kepada peluangnnya dalam PRU-13, maka ia nyata meleset kerana ia hanya memaparkan arus bawahan yang kini menghanyutkan PAS, DAP dan PKR akibat pelbagai isu asas yang tidak dapat disepakati secara jujur.

Dalam lain perkataan HKR sebenarnya mendedahkan kelemahan kesatuan Pakatan Rakyat menjelang PRU-13 kelak.-20/1/2013- OLEH YUSOF HARUN - DARI AKHBAR SINAR HARIAN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1395  tetamu dalam talian