20September2018

Bersediakan PAS dibuli DAP lagi...

Walaupun sebelum ini menjadi tonggak kekuatan pa­katan pembangkang namun Pas dilayan bagaikan sebuah parti yang tidak bermaruah. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diperlekeh bukan sahaja oleh pemimpin DAP tetapi PAN – yang adalah parti serpihan Pas.

Mereka tidak menghormati Pas kerana lebih selesa untuk bekerjasama dengan PKR. Apapun isu segalanya akan disepakati de­ngan PKR manakala PKR mula lebih menitik beratkan pandangan DAP berbanding Pas.

Tetapi sekarang secara tiba-tiba pemimpin PKR menggesa Pas kembali dalam pakatan pembangkang yang sudah pasti akan disertai oleh DAP, maknanya kalau Pas bersetuju atas gesaan itu, mereka akan kembali ‘berpeluk’ dengan DAP dan perlu bersedia dilayan sekali lagi bagaikan ‘melukut di tepi gantang’.

Dalam masa sama, Pas perlu melupakan perjuangan Islamnya se­perti mana mereka terpaksa melupakan penubuhan negara Islam dan menumpukan perhatian kepada sebuah negara berkebajikan.

Pas juga perlu bersedia kehilangan kuasa mutlak untuk membuat keputusan sebagai sebuah parti yang jauh lebih hebat daripada DAP dan PKR. Dalam bahasa mudah, apa pun Pas hendak lakukan mesti mendapat sokongan dan restu DAP.

Sebelum ini pemimpin-pemimpin Pas begitu tegas menolak kerjasama dengan UMNO kerana antara mereka menganggap UMNO sebuah parti bermasalah dan hanya mahu berkawan dengan Pas apabila berhadapan dengan masalah.

Soalnya sekarang adakah Pas akan bersedia menjalin semula kerjasama dengan pa­katan pembangkang selepas PKR dan DAP mendapati rakan sekutu baru mereka, PAN bak kata orang sekadar ‘menghabiskan beras’ sahaja?

Sejak awal lagi, apabila Pas ‘disingkir’ atau ‘tersingkir’ daripada pakatan pembangkang, ramai melihat ia hanya akan merugikan pakatan itu. Ini memandangkan kita perlu mengakui Pas mempunyai kelompok penyokong cukup hebat.

Selama ini merekalah yang menjadi tonggak kekuatan pembangkang bermula daripada pilihan raya sehinggalah demonstrasi jalanan.

Bagaimanapun PKR dan DAP tidak menghargai semua itu kerana beranggapan Pas tetap memerlukan mereka untuk terus ‘bernafas’ dalam arena politik tanah air.

Pemimpin kedua-dua parti itu bukan sahaja sanggup bekerjasama malah secara terang-terangan menyebelahi kelompok yang menentang kepemimpinan Abdul Hadi sehingga Pas akhirnya terpecah dan lahirlah PAN yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Kini keangkuhan PKR dan DAP memakan diri. PAN yang diharapkan akan membawa cahaya kegemilangan kepada pakatan pembangkang sebaliknya ibarat ‘ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’.

Sebenarnya tindakan PKR dan DAP yang terlalu teruja mahu be­kerjasama dengan PAN bukanlah tindakan bijak. PAN tidak ada apa-apa kekuatan, sebaliknya sebuah parti yang ditubuhkan oleh sekelompok pemimpin yang kecewa selepas tewas dalam pemilihan parti.

Bagaimanapun PKR dan DAP sengaja menolak fakta itu. Mereka sanggup mengamalkan ‘pakatan politik songsang’.

Sebagai contohnya, PKR, Pas dan DAP bersama dalam kerajaan negeri Selangor, tetapi dari segi kerjasama politik PKR hanya berkawan dengan Pas, DAP dan PAN sedangkan DAP menolak Pas tetapi bersekutu dengan PKR dan PAN.

Akhirnya ‘pakatan politik songsang’ itu memakan diri apabila mereka ditolak di Sarawak.

Namun apa yang lebih menarik untuk diperkatakan ialah adakah Pas akan menerima pelawaan PKR? Sebelum inipun DAP sudah memberi isyarat yang mahukan Pas kembali ke dalam pakatan apabila seorang pemimpin kanannya melakukan percaturan kerusi di negeri mana perlu ditan­dingi oleh PKR,DAP, Pas dan PAN.

Walaupun idea itu ditolak oleh Pas, tetapi ia sekurang-kurangnya memberi petanda awal kepada Pas bahawa sikap ‘taiko’ DAP tetap akan kekal, tidak kira sama ada Pas berada dalam pakatan pembangkang atau tidak.

Oleh itu, kalaulah berada di luar pakatanpun, DAP masih lagi mahu ‘mencaturkan’ perjalanan politik Pas, bagaimana kalau berada dalam pakatan. Pas jangan berharap PKR dan DAP akan insaf terhadap apa yang berlaku.

Justeru Pas janganlah terperangkap dengan mainan politik PKR mahupun DAP. Tidak kisahlah kalau Pas mahu bekerjasama dengan PKR, kalau merasakan ini tindakan yang betul walaupun nampak pelik memandangkan PKR turut bekerjasama dengan DAP, tetapi untuk berada dalam satu gabungan bersama DAP ia ibarat ‘menjilat ludah sendiri’ dan perlu bersedia ‘dipatuk dua kali dalam lubang’ yang sama.

Namun begitu dalam keghairahan membicarakan soal kekalutan yang berlaku dalam pakatan pembangkang, BN dan UMNO tidak boleh terlalu teruja dengan kepu­tusan di Sarawak.

Sebaliknya, mereka perlu memastikan gelombang Bumi Kenyalang itu turut dirasai di Semenanjung. Jangan samakan sentimen orang Sarawak dengan pengundi di Semenanjung. Walaupun sedikit sebanyak perlu diakui ada kelompok pengundi kaum tertentu sudah kembali kepada BN, tetapi jangan berharap sangat senario yang sama boleh berlaku di Semenanjung.

Apa yang perlu diusahakan daripada sekarang ialah bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa pakatan pembangkang bukanlah harapan mereka. Sebaliknya, mereka perlu terus memberi sokongan dan keyakinan kepada BN meme­rintah negara ini.

Rakyat perlu diingatkan tidak terpedaya dengan ‘keinsafan’ pemimpin-pemimpin pembangkang yang mahu kesemua parti pembangkang bersatu.

Percayalah dengan ideologi yang berbeza, haluan perjuangan yang berlainan dan antara mereka mahu menjadi ‘taiko’ – sampai bilapun pembangkang akan berantakan dan pasti ada yang akan menjadi ‘mangsa buli’. Pas sudah tentu memahami hakikat ini.-11/5/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 348  tetamu dalam talian