27Ogos2014

Bajet: Husni sasaran pembangkang

husni-100
Adalah perkara biasa sekiranya seseorang menteri kewangan mana-mana negara sekalipun sering diberi pujian jika ekonomi negaranya dibayangi pertumbuhan yang baik  berbanding zaman kemelesetan. Sesetengah penyandang pula bernasib baik kerana menduduki kerusi panas itu ketika ekonomi dunia melalui zaman gemilang.

Ketika ekonomi dunia berada di puncak kegemilangannya, tak payahlah seseorang menteri kewangan itu memerah otak dan mengalami keadaan orang menarik selimut yang tak cukup panjang – tarik ke atas, kaki sejuk, tarik ke bawah kepala sejuk.

Mudah cakap, orang kurang bijak pun boleh memegang jawatan berkenaan tanpa perlu tokoh sepintar Ungku Aziz. Benar ukuran seperti ini tidak adil. Tapi itulah realitinya, dan realitinya lagi rata-rata menteri kewangan Malaysia pada umumnya tidak memiliki latar belakang pendedahan, pengalaman malahan kelayakan akademik kukuh berbanding dengan, misalnya Singapura. Jika di Singapura, lazimnya menteri kewangan mesti memiliki setidak-tidaknya ijazah sarjana dalam bidang ekonomi dan kewangan serta trek rekod cemerlang dalam menguruskan kewangan sesebuah organisasi besar. Di Malaysia, orang yang sekadar memiliki ijazah asas Pengajian Melayu pun boleh menjadi menteri kewangan.

Bukan itu sahaja, malah ketika menjadi Menteri Kewangan, ahli politik ini dikatakan secara bersendirian menulis sebuah buku dan mempromosi dirinya sebagai pelopor kepada zaman kegemilangan benua Asia.

Namun semua itu sudah menjadi sejarah yang gagal mencatatkan sebarang tawarikh kegemilangan. Begitu pun, kegagalan ini tidak menghalang tokoh berkenaan yang sudah mengetuai pembangkang itu, tanpa segan silu, mengambil peranan sebagai menteri kewangan bayangan, lalu turut tidak mahu ketinggalan membentangkan Bajet Pakatan Rakyat.

Dipendekkan cerita apabila tokoh ini dipencenkan secara mengejut daripada jawatan menteri kewangan dan juga semua jawatannya dalam kerajaan dan Umno, dia digantikan oleh Tun Daim Zainuddin yang dilantik ke jawatan berkenaan untuk kali kedua. 

Memang betul Daim tidak terdidik secara formal dalam bidang kewangan sebaliknya adalah seorang peguam. Tapi trek rekod Daim dalam menguruskan kewangan organisasi dan lebih-lebih lagi dalam menguruskan sumber sukar untuk ditandingi oleh mana-mana pengurus dan ahli ekonomi pada zamannya. Malah ketika dilantik menjadi Menteri Kewangan untuk pertama kalinya, Daim mempamerkan prestasi cemerlang. 

Namun tahun 2002 menyaksikan Daim meletakkan jawatan tersebut dan memaksa Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu turut memegang jawatan Menteri Kewangan dan mewujudkan jawatan menteri kewangan kedua bagi membantu beliau melicinkan urusan kementerian terbabit.

Sejak jawatan itu mula diperkenalkan pada 21 November 2002, beberapa tokoh telah mengisinya dan dimulakan dengan Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis. Walaupun JJ juga bukan memiliki pengalaman berlatar belakangkan bidang ekonomi dan kewangan, namun setidak-tidaknya ijazah doktor falsafah beliau dalam bidang kejuruteraan sudah tentulah lebih baik berbanding ijazah asas ‘Pengajian Melayu’.

Setelah JJ, muncul pula Tan Sri Nor Mohd Yakcob, pakar ekonomi dan kewangan yang dikenali di peringkat antarabangsa. Dan kini, di bawah format yang dimulakan Dr Mahathir, Datuk Seri Najib Razak memilih Ahli Parlimen Tambun, sejak 1999 sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Sebagai seorang yang berkelulusan ekonomi dan pernah diberikan tanggungjawab mengetuai pasukan eksekutif Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak, Ahmad Husni berjaya menunjukkan prestasi tidak kurang cemerlangnya di MOF.

Husni ketika mengulas bajet pembangkang, berkata, "bajet pembangkang sekiranya dilaksanakan hanya akan mengakibatkan negara jatuh bankrap," mendapat perhatian.

Mengundang kemarahan besar puak pembangkang sehingga menarik perhatian seorang penulis dalam akhbar Harakah - mempertikai kenyataan Husni dengan menganggap bajet pembangkang ‘belum cuba, belum tahu.’

Mungkin kolumnis itu terlupa bahawa bagi Husni yang dianggap pakar dalam bidang ekonomi, ekonomi negara bukannya tikus yang perlu melalui uji kaji.

Kenyataan Husni bukan saja harus diulas, malah Harakah cuba memperlekeh kredibilitinya. Kalau dalam padang bola, Husni harus dilayangkan kad merah berkali-kali dan berulang kali walaupun ia tidak melakukan sebarang terjahan ataupun menggunakan kekasaran terhadap pemain lawan. Tapi, itulah modus operandi dan pendekatan politik pembangkang.

Sebenarnya Husni tidak perlu melakukan kenyataan tersebut tetapi sebagai MOF dan mewakili kerajaan, beliau sudah tentulah harus mempertahan kerajaan dan menangkis bajet alternatif Pakatan Rakyat berbangkit dari ‘kegianan’ mantan MOF membentangkan bajet negara.

Tidak dapat dinafikan bila perkiraan belanjawan negara dibuat berfaktorkan 'kegianan' dan rasa syok sendiri, kemungkinan negara akan bankrap tidak dapat diketepikan begitu sahaja. Saya yakin, rakyat bersetuju dengan Ahmad Husni. OLEH YUSOF HARUN -Sinar Harian

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1041  tetamu dan tiada rakan dalam talian