18September2014

Bajet 2013 Perak dan kerenah DAP

dun-perak1-513
Tanpa bantuan, kerjasama, persetujuan dan pakatan bersama PKR dan Pas, adalah mustahil sama sekali bagi DAP untuk memperoleh begitu banyak kerusi Dun Perak pada PRU 12 sehingga membentuk kerajaan bersama. Sama ada DAP boleh menerima pendapat ini atau tidak, itu cerita lain, tetapi begitulah hakikatnya.

Atas kertas DAP tidak memerlukan parti-parti lain apatah lagi Pas bagi menguasai kerajaan Pulau Pinang kerana di negeri tersebut pengundi Melayu tidak dominan.

Di Kedah, DAP sedar Pas lebih mempunyai pengaruh kerana kebanyakan rakyat Kedah terdiri daripada orang Melayu. Jika ada anggapan DAP ada pengaruh di Kelantan, ia mungkin separuh benar kerana di Kelantan walaupun majoriti pengundi berbangsa Melayu, DAP sebagai sekutu Pas tidak menghadapi masalah memperoleh ganjaran.

Di sebalik sorak-sorai apa yang dikatakan kononnya kerajaan dan pentadbiran ‘bersih’, Pakatan Rakyat sebenarnya bukan tanpa cacat cela. Hakikat Nizar Jamaludin menjadi MB Perak kerana ihsan DAP bukan memerlukan teropong ajaib. Tak mudah bagi sesiapa saja termasuk orang Pas sendiri meneka  sebab DAP memilih Nizar.

Beberapa hari lalu, Pengerusi DAP negeri Ngeh Koo Ham dalam sidang media mengumumkan, Pakatan Rakyat bersetuju memilih Nizar sebagai Menteri Besar Perak jika mereka berkuasa semula. Ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Namun rakyat Perak, khususnya dan rakyat Malaysia, amnya semakin memahami betapa sama ada Nizar atau orang lain menjadi menteri besar sekiranya Pakatan Rakyat kembali berkuasa, mereka tidak mungkin menjadi sebuah kerajaan yang relevan dan mampu bekerja kuat untuk kesejahteraan rakyat.

“Apakah DAP peduli tentang nasib rakyat Perak?” tanya seorang rakan wartawan. Jawapannya ada dalam hati kita. Kalau DAP lebih mementingkan soal rakyat dan kesejahteraan negeri, tentu mereka tidak buat pelbagai perangai buruk dalam sidang Dun.

DAP asyik buat hal berulang kali dengan kali ini menunjukkan sikap tidak senonoh ketika Dun Perak memulakan persidangan bermula Isnin lepas. Sidang kali ini antara lain mengenai bajet 2013 yang dibentangkan Zambry. Tak ada atau jika bajet tidak diluluskan implikasinya kerajaan tidak boleh bayar gaji kakitangan, bayar bil air dan api serta lain-lain yang ada hubung kait dengan kewangan.

Tak sampai seminggu dari tarikh tersebut, DAP mengadakan mesyuarat agung termasuk mengundi 20 anggota jawatankuasa kerja pusat atau CEC. Terpilih ialah dua tokoh dari Perak.

Sebagai orang yang faham undang-undang, mereka tidak sepatutnya menggunakan Dewan untuk agenda lain. Lagipun Dun Perak yang bersidang kali ini mengenai bajet 2013 dibentangkan MB Perak. Ini bukannya sidang  bawah pokok yang ahli sidangnya boleh berkelakuan tidak bertamadun dan memperkatakan perkara tidak bertamadun.

Sebagai golongan eksklusif, mereka dilihat rakyat sebagai orang bertamadun dan arif tentang undang-undang. Lagipun mereka pernah menjadi pemerintah sebelum kehilangan kuasa akibat hilangnya kepercayaan orang mereka sendiri.

Mujurlah Zambry Menteri Besar yang serba cool dalam banyak aspek. Tapi bila berlaku peristiwa wakil-wakil rakyat DAP menayang poster bajet alternatif mereka semasa sidang Dun sebaik beliau selesai membentang bajet kerajaan BN 2013, ini sudah lebih. “Ini perbuatan tidak senonoh,” ulasnya.

Oleh itu, bukanlah menghairankan jika Nizar ikut telunjuk wakil-wakil DAP yang berkelakuan sedemikian. Kita dapat lihat sehari sesudah Nizar bersama-sama DAP menayang poster, keesokannya Pengerusi DAP negeri Ngeh Koo Ham mengumumkan bahawa Nizar dipilih Pakatan Rakyat menjadi MB ke-12 jika mereka menang PRU 13.

Bagi Zambry, mantan MB itu tidak faham tentang bajet berimbang. Katanya terdapat percanggahan kenyataan Nizar kepada media bahawa bajet alternatif pembangkang adalah seimbang pada sidang Dun semalam berbanding surplus (lebihan) ketika pertama kali mengumumkannya kepada media pada 14 Disember.

“Sekejap dia kata seimbang, sekejap surplus. Surplus bermaksud lebihan dan sekiranya RM1 ia tetap surplus, tetapi semalam dia kata seimbang. Ini menunjukkan dia tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai pengurusan kewangan,” kata Zambry.

Justeru, sidang yang sepatutnya membincangkan perkara serius seperti Bajet 2013, telah sengaja dirosakkan oleh DAP dan konco-konconya. Parti seperti inikah yang dimahukan rakyat?-22/12/2012 -Sinar Harian

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 582  tetamu dalam talian