25Mei2017

Zambry ajak pembangkang kutip sampah sama-sama...

Menteri Besar Perak mengajak pembangkang mencontohinya dengan turut secara bersama mengutip sampah sarap jika mereka benar-benar prihatin nasib dan masalah rakyat—jangan asyik main politik.

“Saya turun padang kutip sampah di Ipoh . . . . tetapi mengapa mereka (pembangkang) tidak ingin turun sama?”tanya Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir dalam satu sidang media sejurus menghadiri perjumpaan dengan para pendidik di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib,Teluk Intan pada Rabu.Ini sebahagian dari program Pemukiman YAB MB Perak yang masuk  hari kedua.

Beliau mengulas kritikan serta ejekan pembangkang mengenai langkah beliau memperkenalkan konsep “kerjasama”  dimana beliau turut sama membantu sama ada petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atau Majlis Daerah melakukan kerja-kerja pembersihan baru-baru ini.

Selain mengutip sampah, Zambry turut memandu lori sampah ketika melakukan aktiviti sama ketika di Manjung bersama-sama kakitangan majlis daerah—sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri Besar di negara ini.

Walaupun keciwa dengan sikap pembangkang yang terus memperlekeh usahanya itu, Menteri Besar mempunyai peringatan untuk puak-puak ini: “. . . .jika kita terus melayan pembangkang seperti kita tiada kerja lain maka perhatian pada rakyat akan dilupakan.”

Selain mengejek beliau, mereka menyifatkan usaha dalam konteks menjaga kebersihan ini sebagai satu gimik politik.

Beliau melihat pembangkang kini semakin terdesak lebih-lebih kali menjelang PRU ke14. Katanya pendekatan turun padang  terbukti  memberi kesan positif kepada rakyat mahupun kerajaan negeri.

“Di Perak program turun padang telah dibuat sejak dulu lagi dan kita turun ke bawah melihat permasalahan rakyat jadi janganlah hanya lihat daripada konteks politik sahaja.

“Saya turun padang kutip sampah di Ipoh tapi kenapa pembangkang tidak ingin turun sama?

“Jika dia bertanggungjawab sebagai wakil rakyat dia kena bersama-sama saya turun padang atau mungkin dia tidak kutip sampah kerana jijik. Bagaimanapun, apabila dia menghentam dan mengkritik usaha kami, tidak pula dia rasa jijik dengan perangai sendiri.”

“Mereka tidak pernah rasa selesa dengan pendekatan yang kerajaan ambil biarpun ia berkaitan kepentingan dan keperluan rakyat. Apatah lagi program permukiman dan Menteri Besar turun ke bawah ia juga dianggap satu publisiti murahan,” katanya.

“Menerusi program turun padang rakyat tidak memandang serong usaha tersebut malah kami semua tidak berlakon kerana ia budaya kerja yang diamalkan selama ini.

“Tidak seperti pembangkang jika pilihan raya sudah hampir baru mereka mula turun memberi ceramah dengan mengutuk dan memaki hamun kerajaan sahaja,”

 “Kita telah memulakan sebelum PRU13 dan selepas itu kita teruskan. Jika dahulu kita namakan program 3P bermula dengan dua hari, kemudian tiga hari dan sekarang lima hari,”katanya.

Menjawab soalan, Zambry berkata sudah tujuh siri  permukiman namun rakyat  tidak memandang serong niat kerajaan dan tidak menganggap pemimpin kerajaan berlakon, seperti yang dilakukan pembangkang setiap kali menjelang pilihanraya.

Sementara itu, Menteri Besar menggariskan sekurang-kurangnya tujuh ciri untuk guru-guru mencapai tahap guru unggul.Ini termasuklah -

1. Menghormati pelajar dengan mendengar idea dan pandangan mereka.
2. Mempunyai rasa kepunyaan, bukan bertindak bersendirian.
3. Sentiasa mesra supaya mudah dihubungi dan prihatin nasib anak-anak murid.
4. Meletakkan harapan yang tinggi terhadap pelajar.
5. Sentiasa cinta kepada pembelajaran.
6. Pemimpin berkualiti dan mampu membuat keputusan.
7. Mempertahankan profesionalisma.

Beliau juga memberi penghargaan kepada masyarakat pendidik kerana usaha murni mereka dalam bilik darjah. Bahkan katanya setiap kali pemukiman, beliau akan menemui masyarakat pendidik di kawasan berkenaan. Ini dilakukan sepanjang program permukiman. Beliau mengambil peluang menemui mereka untuk menyatakan penghargaan kepada  wira tidak didendang itu.

“Cikgu adalah golongan yang cukup istimewa, khususnya bagi saya anak pulau kerana cikgu telah membentuk sikap dan pandangan saya mengenai masa depan,” katanya.

Katanya melalui usaha mereka lahirlah ramai pemimpin, baik di peringkat daerah, negeri, malah juga negara. “Yang menjadi orang hari ini adalah hasil usaha guru-guru, terima kasih cikgu.”-20/4/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 928  tetamu dalam talian