Ulangi tuduhan lapuk... pembangkang muflis idea
- Terakhir dikemaskini: 12 April 2018
- By WARTAWAN AGENDADAILY
Pakatan Harapan (PH) Perak sudah `muflis ' idea kerana masih mengulangi tuduhan dan perkara sama yang telahpun dijawab di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang tahun.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, PH mengulangi perkara lama kononnya Perak negeri kedua termiskin walaupun telah dijawab oleh beliau dan juga pakar-pakar ekonomi.
Katanya, tuduhan di dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) Perak yang diumumkan semalam jelas menunjukkan seolah-olah mereka tiada perkara yang hendak dibawa kepada rakyat.
``Seolah-olah mereka ingin mempertontonkan rakyat negeri Perak sudah lupa atau boleh dibuai dengan perkara-perkara yang tidak benar dan mereka terus membuat tuduhan itu dengan menyatakan Perak negeri kedua termiskin…negeri kedua termiskin…negeri kedua termiskin atau negeri termiskin.
``Perkara ini bukannya baru, saya telah jawab, termasuk dari segi pendapatan yang terbaru dikeluarkan dalam 2016.
``Statistik menunjukkan dengan begitu jelas sekali, tidak ada satu negeri pun yang mencapai tahap 6,000 seperti mana yang diletakkan, termasuk juga di negeri-negeri yang mereka bangga-banggakan.
``Mereka tidak peduli, yang penting adalah mereka melepaskan `kail-kail’ mereka untuk rakyat percaya dan `makan’ dengan apa yang mereka sampaikan...tapi saya percaya rakyat negeri perak tidak mudah terpengaruh dengan apa yang dikatakan,” katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertemuan dengan pemimpin masyarakat Orang Asli Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Beliau mengulas mengenai kandungan Manifesto PH Perak yang diumumkan di sebuah hotel di Ipoh semalam.
Dr Zambry berkata, pembangkang turut menyediakan tayangan video yang menggambarkan seolah-olah Perak ketinggalan di samping isu laporan kewangan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang juga telah dijelaskan banyak kali.
Menurut beliau, manifesto sepatutnya memberikan kepada rakyat mengenai dasar, polisi, rancangan masa depan dan apa yang boleh dikemukakan sebagai alternatif, bukan hanya umum pemberian tertentu.
``Sebagai sebuah negeri yang nak ditadbir dengan dasar-dasar, polisinya dengan dasar ekonomi, dasar sosial dan sebagainya...itulah yang akan kita lakukan dalam konteks Barisan Nasional Negeri Perak yang akan kita kemukakan dalam manifesto kita nanti,” katanya.
Dr Zambry juga memberitahu pemberita bahwa manifesto itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Ditanya mengenai pengumuman PH Perak yang akan memberi cuti pada 10 dan 11 Mei sekiranya menang pilihan raya umum nanti, Dr Zambry menegaskan pilihan raya bukan soal cuti tetapi ia sesuatu yang serius, iaitu soal pembentukan kerajaan.
``Saya tidak fikir bahawa rakyat boleh digula-gulakan dengan soal cuti, saya yakin rakyat pun tahu tentang pemilihan tarikh, ianya bukanlah sesuatu yang asing, di dalam beberapa pilihan raya sebelum ini juga diadakan pada hari biasa,” kata Dr Zambry.-12/4/2018 *gambarfail