03September2014

Banglo milik Zulhasnan Rafique, Jamaludin Jarjis mungkin diroboh

setia1x
setia1ax
setia4x
setia-pintasxx
Dua banglo, masing-masing milik Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, yang terletak di Puncak Setiawangsa berkemungkinan akan dirobohkan bagi memberi ruang zon penampan antara tebing runtuh dan rumah-rumah berhampiran.

Ketua Pegawai Operasi Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) Mohd Taufik Harun berkata sebelum sebarang tindakan diambil pihaknya perlu mendapatkan semua maklumat berkenaan keadaan tanah dan cerun tersebut.

"Orang boleh bagi pelbagai cadangan, tetapi kami akan mencari penyelesaian sebenar," katanya di Pusat Operasi Bencana Tebing Runtuh di sini Isnin.

Beliau berkata langkah tersebut bertujuan menyelamatkan empat rumah lain yang terletak di atas bukit dan mengurangkan tekanan tanah di atas bukit.

"Buat masa ini kita lihat tiada kesan teruk akan berlaku terhadap rumah penduduk di kawasan atas tapi yang kita dikhuatiri adalah rumah penduduk yang berada di bawah tebing cerun," katanya.

Menurut beliau hari ini pergerakan tanah masih aktif tetapi tidak seaktif Ahad.

"Tindakan segera sekarang kita perlu musnahkan banglo yang terjejas itu sebab akan sebabkan runtuhan tanah lebih teruk dan kita akan cuba alihkan bongkah konkrit yang berat kira-kira 8,100 kilogram secara perlahan-lahan," katanya.

Beliau berkata kaedah yang betul bagi proses merobohkan banglo itu perlu dilakukan bagi mengelakkan keadaan runtuhan tanah dan cerun menjadi teruk.-31/12/2012


Jawatankuasa khas ditubuhkan pantau Bukit Setiawangsa - Muhyiddin

Satu jawatankuasa khas di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau tanah runtuh di kawasan Puncak Setiawangsa di sini telah ditubuhkan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jawatankuasa itu dianggotai pelbagai agensi termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).

Beliau berkata pasukan keselamatan dan kerajaan tempatan juga memantau 24 jam di kawasan tanah runtuh itu.

"Kita akan dapatkan laporan lengkap mengenai perkembangan semasa terhadap keselamatan dan struktur tanah di sini.

"Kita ambil iktibar apa yang berlaku di sini. Dahulu di sekitar kawasan ini, berlaku tanah runtuh di (apartmen) Highland Towers. Jadi kalau boleh kita tidak mahu ianya berulang lagi," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan di kawasan tanah runtuh di Puncak Setiawangsa di Kuala Lumpur Ahad.

Dalam kejadian Jumaat lepas, insiden tanah runtuh berlaku di lereng bukit di Puncak Setiawangsa mengakibatkan 106 penghuni rumah banglo, rumah teres dan rumah kedai diarahkan berpindah.

Muhyiddin menyarankan kepada agensi dan pihak berkuasa tempatan agar turut memantau kawasan lereng bukit atau kawasan tinggi yang lain di seluruh negara berikutan musim tengkujuh ini.

Mengulas mengenai perkembangan terkini kawasan tanah runtuh tersebut, beliau berkata sebuah unit rumah banglo akan dirobohkan oleh DBKL bagi mengelakkan keadaan tanah menjadi berat dan menjejaskan keselamatan penduduk dan bangunan di bawah kaki bukit tersebut.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa keselamatan harta benda penduduk akan sentiasa dijaga kerana polis telah menempatkan anggota serta membuat rondaan 24 jam.

Muhyiddin dan isteri Datin Seri Norainee Abd Rahman yang tiba di bilik gerakan sementara polis di Persiaran Bukit Setiawangsa pada kira-kira 4.30 petang turut meninjau kawasan runtuhan di bahagian bawah yang terletak 70 meter dari bilik gerakan itu sebelum meninjau operasi bilik gerakan itu.

Timbalan Perdana Menteri dan isteri turut diberikan taklimat oleh seorang pegawai polis Ibu Pejabat Daerah Sentul dan meninjau pasukan keselamatan lain yang turut bertugas menjaga keadaan di kawasan terbabit termasuk Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela, Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Muhyiddin kemudian menaiki kenderaan dibawa meninjau dengan lebih dekat kawasan terjejas di Puncak Setiawangsa selama kira-kira 20 minit.-30/12/2012


Jalan masuk ke Puncak Setiawangsa ditutup, laluan alternatif dibuka


Jalan masuk utama ke Puncak Setiawangsa, di Kuala Lumpur ditutup sepenuhnya lewat malam tadi berikutan tanah runtuh di kawasan tersebut pada Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata jalan alternatif dibuka di Persiaran Setiawangsa bagi laluan kepada penduduk setempat.

"Jalan tersebut dikawal oleh anggota polis dan Rela bagi kelancaran lalu lintas," katanya Ahad.

Beliau berkata Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) menyatakan sehingga kini masih berlaku pergerakan tanah yang aktif di kawasan cerun.

"Tujuh buah banglo di Puncak Setiawangsa berada di zon bahaya dan telah dikosongkan manakala 22 rumah yang lain berada dalam keadaan selamat dan boleh diduduki," katanya.-30/12/2012




Polis arah 88 keluarga di Puncak Setiawangsa kosongkan rumah

KEMASKINI : Seramai 88 keluarga yang menghuni banglo mewah, rumah kedai dan rumah teres di Puncak Setiawangsa di sini diarah berpindah serta mengosongkan kediaman masing-masing ekoran masih berlaku pergerakan tanah yang aktif selepas kejadian tanah runtuh di kawasan itu Jumaat malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata polis telah mengarahkan kesemua 30 pemilik rumah banglo, 18 pemilik rumah kedai dan 58 pemilik rumah teres dua tingkat tersebut berpindah ekoran keadaan tidak selamat dan mungkin boleh membahayakan keselamatan mereka.

"Kesemua yang terbabit berada di Jalan Bukit Setiawangsa dan Jalan Puncak Setiawangsa 2 diarah berbuat demikian setelah Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mengesahkan pergerakan tanah masih berlaku di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Othman berkata ekoran kejadian tanah runtuh malam semalam sebuah banglo terjejas teruk manakala dua lagi banglo yang dimiliki Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis mengalami rekahan tanah.

Beliau berkata pihak polis telah berbincang dengan agensi keselamatan lain bagi mewujudkan satu jalan alternatif lain ke Puncak Setiawangsa kerana jalan utama terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.-29/12/2012


Tebing Runtuh: 3 penghuni banglo di Puncak Setiawangsa diarah pindah


Tiga keluarga yang menetap di tiga rumah banglo di Puncak Setiawangsa, di sini, diarah berpindah berikutan kejadian benteng konkrit di lereng bukit di situ runtuh, malam tadi. Penolong Pengarah Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata tiga keluarga berkenaan diarah berpindah serta-merta kerana bimbang runtuhan susulan akan berlaku.


"Kita turut mengarahkan peniaga di 13 lot kedai dua tingkat untuk berpindah kerana kita ada mengesan pergerakan tanah di kawasan itu pada 4 pagi tadi, jadi kita khuatir sekiranya berlaku hujan lebat, runtuhan susulan akan berlaku," katanya.

Beliau berkata pada masa ini jalan menuju ke Puncak Setiawangsa terpaksa ditutup bagi mengelak kejadian yang lebih buruk akibat pergerakan keluar masuk kenderaan.

Azizan berkata pihaknya bersama-sama agensi keselamatan lain sentiasa bersiap-sedia dan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan runtuhan itu.

Katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian masih lagi disiasat.-29/12/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1018  tetamu dan tiada rakan dalam talian