19Ogos2018

Ramai tak faham apa itu Kerajaan Teknokrat... - PAS

PAS mendakwa ramai salah faham terhadap cadangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperkenalkan Kerajaan Teknokrat (dua kabinet) di Malaysia.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata tafsiran Kerajaan Teknokrat sebagai “pembentukan kerajaan 2 kabinet” yang merupakan suatu bentuk tafsiran yang terlalu lemah, semberono dan tidak memahami maksud sebenarnya.

“PAS tegas menolak segala bentuk sistem kasta mahupun kerajaan teokrasi apatah lagi kerajaan diktator dalam sistem pemerintahannya.”

“Malah, cadangan kerajaan teknokrat tidak memaksudkan begitu sebaliknya ia adalah langkah penyelesaian jangka panjang yang diketengahkan bagi mengembalikan semula makna serta tujuan sebenar demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, cadangan kerajaan teknokrat di Malaysia bertujuan menggabungjalinkan kelompok-kelompok pakar dalam bidang masing-masing serta mereka yang dipilih melalui sistem pilihanraya untuk duduk semeja dan berbincang bagi membangunkan negara bersama-sama.

Jelasnya, kelompok pakar ini akan diposisi pada bahagian kumpulan utama jentera pelaksana dasar dan polisi kerajaan disamping bertanggungjawab mengendalikan urusan berdasarkan kepakaran yang mereka miliki.

“Itu maksud sebenar yang disampaikan oleh Presiden PAS yang sengaja diputarbelit oleh pihak yang berkepentingan. Sampai bila harus perkara (fitnah dan penyelewengan fakta) ini akan terus berlaku di dalam negara?” soal beliau.

“Cadangan tersebut tidak sama sekali mewujudkan sistem kasta seperti yang didakwa oleh sesetengah pemimpin parti politik yang hanya sekadar mengutamakan kepentingan politik berbanding menghasilkan kaedah terbaik sebagai jalan keluar terhadap krisis politik yang semakin buntu dan akhirnya merugikan rakyat,” tegasnya lagi.

Ujar Nasrudin, konsep kerajaan teknokrat mampu mengendurkan ketegangan parti-parti politik di Malaysia yang menyebabkan wujudnya suatu persaingan yang bukan di atas kepentingan rakyat tetapi lebih menjaga “periuk nasi” politik masing-masing.

Tambahnya, yang paling mustahak adalah ia juga turut memanfaatkan kepakaran yang dimiliki golongan pakar supaya turut serta memberikan sumbangan ilmu dan kepakaran masing-masing bagi membangunkan negara.

“PAS mengharapkan agar cadangan kerajaan teknokrat ini dibahaskan secara ilmiah dan bukan di atas sentimen yang akhirnya merugikan rakyat,” jelas Nasrudin.-7/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 467  tetamu dalam talian