23Jun2017

Penduduk 1Razak Mansion harap keakraban kaum terus terjalin

Dalam keterujaan menduduki rumah baru di Perumahan 1Razak Mansion, kebanyakan penduduk asal perumahan awam (PA) Razak Mansion di Jalan Sungai Besi, berharap keakraban penduduk pelbagai kaum sejak 40 tahun lepas dapat dikekalkan.

Warga emas Sun Lin Zhen, 78, berkata beliau mempunyai jiran kaum Melayu dan India yang sentiasa sudi menghulurkan bantuan apabila diperlukan.

“Walaupun kami bakal berpindah ke rumah baru, banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang lebih 40 tahun di blok lama dan jiran pelbagai kaum yang bagaikan keluarga kami sendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau antara 658 penghuni PA Razak Mansion yang menerima kunci kediaman baru pada Majlis Penyerahan Kunci 1Razak Mansion oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Sebanyak 658 unit rumah baru dibina di bawah projek itu dengan keluasan 800 kaki persegi berbanding saiz unit lama di PA Razak Mansion iaitu 399 hingga 504 kaki persegi, dengan 3 bilik dan 2 bilik air, selain dilengkapi pelbagai kemudahan awam.

Pembinaan PA Razak Mansion yang dimulakan pada 1963 itu dirasmikan bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein pada 1967 yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Suri rumah S Letchumi, 45, yang mendiami perumahan awam itu sejak 1978 berkata kebanyakan penghuni di situ meraikan perayaan bersama-sama dan bergotong-royong mengadakan rumah terbuka dan kenduri kahwin.

“Suasana seperti itu pasti akan dikenang sampai bila-bila meskipun di 1Razak Mansion kami boleh melakukan perkara serupa, namun suasana seperti kampung itu mungkin tidak dirasai seperti di rumah lama kami,” katanya.

Peniaga Lim Kah Wei, 27, pula berpuas hati dengan kediaman baharu yang bakal didiaminya dengan kemudahan pasar baru dan tempat letak kereta yang lebih
banyak.

Penjawat awam Mohamad Salleh Ismail, 40, mencadangkan kerajaan mengekalkan satu blok PA Razak Mansion sebagai simbol kenangan kepada penduduk.

“Jika mahu robohkan sekali pun, tinggalkan 1 blok untuk kami mengenang memori lama tinggal di kawasan itu ataupun kekalkan memorial Razak Mansion yang terletak di pintu masuk kawasan perumahan,” katanya.

Projek pembangunan semula yang menelan kos sebanyak RM150 juta itu memperkenalkan konsep penggantian unit kediaman ‘one to one’ kepada penduduk, yang mula dibina pada 2014 dan siap selepas 2 setengah tahun.

Projek itu dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan pemaju dilantik oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri.-16/3/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1093  tetamu dalam talian