20Jun2018

PAS Perak yakin dapat sokongan kuat pengundi Melayu

PAS Perak yakin mendapat sokongan kuat pengundi Melayu terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen  yang majoritinya orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kali ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria berkata, ini kerana pengundi Melayu kini menjadikan  PAS  sebagai parti alternatif yang selama ini memperjuangkan dasar Islam.

Katanya, ini juga selaras dengan senario politik masa kini dimana PAS Perak kali ini membuat perubahan dengan meletakkan golongan profesional, ulama dan aktivis sebagai calon pada pilihanraya kali ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan setakat ini senarai calon parti itu bagi negeri Perak  masih belum lagi dimuktamadkan.

``Apapun calon-calon yang PAS bakal ketengah nanti merupakan calon terbaik yang mampu meraih sokongan pengundi Melayu ,''  katanya kepada Agendadaily.

Razman berkata, selain BN walaupun terpaksa berdepan parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang memungkinkan berlakunya  pertandingan tiga penjuru namun ia tidak langsung menjejaskan peluang parti itu untuk beroleh kemenangan.

Beliau menambah ini kerana parti-parti baharu dalam gabungan Pakatan Harapan seperti PAN dan PPBM tidak mempunyai sokongan  mantap diperingkat akar umbi  jika dibandingkan dengan kekuatan PAS pada hari ini.

Beliau berpendapat  realitinya parti-parti baharu itu terpaksa bergabung dalam Pakatan Harapan bersandarkan kepada kekuatan DAP  yang mendapat sokongan kuat pengundi Cina.

``Kita dipihak PAS bertanding secara sendirian dan tidak lagi bergantung kerjasama dengan parti-parti dalam pakatan harapan,'' katanya.

Razman yakin tiga golongan ini mampu meraih sokongan mantap pengundi-pengundi Melayu di kawasan lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Perak yang majoritinya dikuasai UMNO pada pilihanraya nanti.

Katanya, PAS yakin calon profesional memenuhi kehendak rakyat selaras dengan pembangunan semasa selain mereka amat memahami isu-isu yang melibatkan dasar antarabangsa.

``Golongan ulama pula memenuhi kehendak  dan dasar  Islam yang diamalkan PAS selama ini manakala aktivis pula mereka amat memahami perasaan dan permasalahan rakyat diperingkat keterbawahan,’’ katanya.

Ditanya kawasan mana yang bakal beliau bertandingi nanti, Haji Razman menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PAS pusat.

``Saya menyerahkan kepada pucuk kepimpinan PAS Pusat dalam menentukan keputusannya nanti.

``Sama ada saya dicalonkan atau tidak dicalonkan ...saya akur kepada pucuk pimpinan PAS Pusat,’’ ujarnya.

Lebih menarik pada PRU14 kali ini,  PAS akan bertanding secara sendirian tanpa mengadakan kerjasama politik dengan beberapa parti pembangkang seperti berlaku pada pilihanraya 2008 dan 2013.-13/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1255  tetamu dalam talian