11Disember2018

Orang Melayu akan beri sokongan pada pada BN - Khairy

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku 'Tsunami Melayu' lagi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti yang didakwa sesetengah pihak.
 
Sebaliknya ujar beliau, masyarakat Melayu akan memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir kerajaan kerana memiliki calon yang berkualiti.
 
Katanya, spekulasi mengatakan akan timbul tsunami Melayu menjelang pilihan raya tidak benar kerana masyarakat Melayu memerlukan parti keramat itu untuk terus membela mereka.
 
"Sejak dari dulu, masalah di FELDA diselesaikan dengan cepat, malah Datuk Seri Najib Razak begitu peka dengan nasib peneroka.
 
"Kerajaan sentiasa mahu membantu, bukan hanya insentif berkala tetapi berterusan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rembau Challenge 2018 di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, peneroka boleh melihat dan menilai perjuangan kerajaan yang merancang pembangunan untuk jangka masa panjang.
 
Ditanya mengenai desas-desus beliau akan diletakkan sebagai calon Parlimen Port Dickson, Khairy menegaskan beliau adalah 'party man'.
 
"Saya orang parti dan kalau Datuk Seri Najib minta saya bertanding di mana pun, saya akan pergi.
 
"Tetapi, saya lebih selesa berada di Rembau kerana sudah dua penggal menang di sini," katanya.
 
Sejak kebelakangan ini timbul spekulasi mengatakan bahawa Menteri Belia dan Sukan itu akan diletakkan sebagai calon Parlimen Port Dickson yang dahulunya dikenali sebagai Parlimen Telok Kemang.-13/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 341  tetamu dalam talian