14Disember2018

Manifesto PH dibuat supaya 'sedap didengar' - Husni

Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan Khamis malam, sekadar meraih sokongan dan memberi 'gula-gula' politik kepada pengundi, sedangkan ia dirangka bukan berdasarkan fakta.
 
Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata manifesto pembangkang tetap tidak realistik untuk dilaksanakan walaupun beberapa kali dipinda.
 
"Jelas apa yang mereka buat (manifesto) bukan berdasarkan kepada pengetahuan mendalam mengenai sesuatu isu, mereka buat hanya untuk bagi rakyat sedap mendengar saja.
 
"Kita tengok pada (Pilihan Raya Umum) 2004 manifesto lain, begitu juga (PRU) 2008 dan sekarang pun lain, berubah-ubah sekadar untuk melegakan halwa telinga atau sebagai modal untuk memikat rakyat, itu saja," katanya.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Barisan Kepimpinan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini hari ini.
 
Ahli Parlimen Tambun itu mengulas manifesto pakatan pembangkang yang menyatakan pelbagai janji termasuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari jika mereka membentuk kerajaan pusat.
 
Ahmad Husni berkata, beliau hairan mengapa PH mengambil langkah ke belakang untuk menghapuskan GST ketika banyak negara melaksanakan sistem percukaian itu untuk meningkatkan pendapatan negara.
 
"Saya tak faham apa yang difikirkan oleh pembangkang. Jika GST tidak baik, kebanyakan negara yang mengamalkan GST di dunia ini telah tersilap langkahlah.
 
"Secara ekonomi tidak masuk akal kerana mereka silap, tidak ada jaminan bahawa harga akan lebih murah dengan pemansuhan GST," katanya.
 
Beliau berkata, adalah amat menyedihkan jika pendekatan pakatan pembangkang untuk menghapuskan GST dan mahu kembali melaksanakan semula sistem cukai lama.-10/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 533  tetamu dalam talian