18Julai2018

Mahathir akan buat macam-macam di saat akhir ini - Hisham

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak hairan jika Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan bermacam-macam lagi perkara bagi menimbulkan emosi pengundi menjelang hari pengundian yang hanya berbaki dua hari lagi.

Menteri Pertahanan itu berkata menimbulkan emosi marah, simpati dan sedih dalam kalangan pengundi pada saat-saat akhir adalah sememangnya  cara berpolitik Dr Mahathir sejak dahulu.

“Walaupun  telah menjengah usia 93 tahun, beliau masih tidak berubah… sekarang nak menziarahi kubur (bekas  Mursyidul Am PAS Allahyarham) Nik Abdul Aziz Nik Mat… saya tak tahulah ikhlas ke tidak.

“Di penghujung (kempen pilihan raya ini), mungkin ada banyak lagi perkara yang dia fikirkan untuk cuba menimbulkan emosi marah, simpati, sedih (pengundi),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Veteran Johor Bahru di Kompleks Belia dan Sukan Larkin hari ini.

Rancangan Dr Mahathir yang merupakan pengerusi  Pakatan Harapan diketuai DAP  itu untuk menziarahi kubur Allahyarham Nik Abdul Aziz  di tanah perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka di Kota Bharu  hari ini, terbantut apabila dihalang keluarga bekas Mursyidul Am PAS itu.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga mempertikaikan keikhlasan PAS yang kononnya mahu memperjuangkan nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan cara meletakkan lebih  20 veteran angkatan itu menjadi calon bertanding di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

“Kenapa tidak mengetengahkan calon-calon veteran dari dulu? Kenapa baru sekarang hendak ketengahkan ramai calon-calon veteran kita (ATM)?,” katanya.

Pada PRU14 ini, PAS mengetengahkan seramai 24 calon dalam kalangan veteran ATM termasuk tujuh orang di Johor.

Ketujuh-tujuh mereka ialah Kapten (B) Najib Lep di DUN Bukit Pasir, Staf Sarjan (B) Azman Ibrahim (DUN Bukit Naning); Adnan Othman (DUN Semerah); Staf Sarjan (B) Muhammad Abdullah (DUN Yong Peng); Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (DUN Panti); Sarjan (B) Mardi Marwan bagi Parlimen Ayer Hitam dan Leftenan Kolonel (B) M. Ash’ari Sidon (Parlimen Sri Gading).-6/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 407  tetamu dalam talian