15November2018

Kerajaan Perak nafi tak bina rumah mampu milik

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menepis dakwaan video seorang lelaki yang tular di media sosial kononnya kerajaan negeri tidak menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat negeri ini.

Beliau menganggap perkara itu sebagai perkara lumrah kerana akan ada segelintir pihak yang akan muncul terutama pada musim pilihan raya umum membuat dakwaan kononnya kerajaan langsung tidak mempedulikan nasib rakyat berkaitan pemilikan rumah.

Dr Zambry menjelaskan, kerajaan negeri bukan hanya mahu melihat rakyat memiliki rumah mengikut kemampuan msing-masing malah memastikan harga perumahan di negeri ini adalah terkawal.

``Beribu-beribu hektar kita keluarkan bagi selesaikan masalah rakyat dan memastikan rakyat dapat tinggal dalam keadaan baik.

“Apa projek perumahan kita tidak buat untuk rakyat negeri Perak malah untuk rumah kos rendah kita antara negeri yang tawar harga bersesuaian dan kawal harga rumah supaya rakyat dapat beli rumah.

``Bagi mereka yang ada duit, orang yang tak ada duit kita tetap tolong,” katanya semasa berucap  di Majlis Bersama Menteri Besar Perak Daerah Kampar/Kinta di Dataran Arena Rakyat Tualang Sekah, Malim Nawar pada Isnin.

Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri turut menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang berperanan menjual rumah pada harga bersesuaian untuk rakyat.

``Kita nak bina rumah projek perumahan Rakyat (PPR) pada harga RM170 ribu satu tapi kerajaan subsidikan rakyat hanya dijual dalam harga RM35,000.

``Begitu juga Skim Rumah Insan Aman Jaya (SRIA) pula dijual pada harga RM70,000 dan boleh sampai RM120,000 jika mahu lebih cantik kerana kita berfikir masalah untuk membantu rakyat mendapat rumah.

``Bagi yang mampu boleh beli rumah harga tinggi, yang tak berada, boleh beli yang sederhana manakala yang tiada rumah miskin tegar semua kita tolong mengikut kaum,” kata Dr Zambry.

Terdahulu Dr Zambry turut merasmikan Majlis Pecah Tanah Desa Perwira Negara Malim Nawar, Majlis Pelancaran Perumahan Belia Amanjaya dan Pemberian Notis 5A dan Surat Tawaran untuk Peserta Rancangan Perumahan Berkelompok (RPB) dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Daerah Kampar dan Kinta.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi merangkap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah berkata sebanyak 640 surat tawaran dan notis 5A kepada penerima Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB).

``Kita akan melancarkan perumahan Belia Amanjaya dikhususkan untuk golongan belia memiliki rumah ini sebanyak 290 unit berharga RM170,000 hingga RM200,000 menunjukkan perkembangan rumah di sini akan berkembang dalam tempoh lima tahun mendatang,” katanya.

Manakala bagi Rumah Desa Perwira, katanya,  sebanyak 443 unit rumah bakal didirikan di Malim Nawar dibawah kelolaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.-24/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 308  tetamu dalam talian