13Disember2018

Kemalangan Tren: SPAD tubuh Jawatankuasa Siasatan Keselamatan

 
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menubuhkan jawatankuasa siasatan keselamatan pelbagai agensi untuk menentukan punca utama di sebalik beberapa insiden kemalangan tren kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
 
Jawatankuasa tersebut juga akan memperkenalkan langkah-langkah penambahbaikan untuk operasi perkhidmatan kargo KTMB.
 
SPAD, dalam kenyataan Jumaat, berkata suruhanjaya itu akan mengetuai jawatankuasa itu yang akan dianggotai oleh pakar daripada beberapa kementerian, agensi dan sektor swasta berkaitan.
 
Antara lain, jawatankuasa itu akan ditugaskan untuk mengkaji secara komprehensif semua rangka kerja, struktur, proses yang sedang diguna pakai serta mendapatkan jaminan bahawa keselamatan diberi keutamaan yang tinggi dalam operasi dan perkhidmatan penyelenggaraan KTMB.
 
Sebelum ini, Ogos lepas, dua insiden tren kargo tergelincir dilaporkan dan semalam, perkhidmatan tren di sekitar Lembah Klang terjejas selepas 12 gerabak tren kargo tergelincir di Kilometer 386, antara laluan Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur.
 
SPAD berkata pihaknya kini sedang merangka terma rujukan bagi jawatankuasa tersebut.
 
SPAD berhasrat untuk memastikan KTMB mengamalkan standard operasi dan keselamatan yang tertinggi, menurut kenyataan itu.
 
"Penubuhan jawatankuasa siasatan keselamatan pelbagai agensi ini bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti daripada pengendali rel tersebut," katanya.- 24/11/2017
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 654  tetamu dalam talian