19Ogos2017

Digasak pembangkang, Zambry teruskan program pemukiman

Dengan PRU ke14 semakin menjelang tiba, Pemukiman YAB MB Perak di kawasan Kuala Kangar yang bermula Selasa (sehingga Sabtu) semakin mendapat perhatian semua pihak.

Lebih-lebih lagi keputusan PRK Kuala Kangar tahun lalu yang diadakan ekoran kematian penyandang Datuk Wan Khairil Wan Ahmad memihak kepada BN, apabila isterinya yang dicalonkan bertanding, menang bergaya—satu rekod pencapaian yang baru.

Datin Mastura Mohd Yazid, seorang peguam bertauliah  menewaskan tiga pencabar dengan majoriti baru, 6,969 undi.

Kemenangan Mastura memberi value added kepada BN yang ketika itu berdepan masalah persepsi rakyat berhubung isu 1MDB dan lain-lain.

Benar, penduduk di kawasan Kuala Kangsar sudah lama menunggu kunjungan Menteri Besar justeru pemukiman bermula Selasa lalu adalah peluang terbaik mereka menemui Zambry sekali lagi.

Dengan mereka  memberi kemenangan besar kepada BN dan Mastura,tentulah mereka menunggu sesuatu yang juga secara relatifnya, agak signifikan.

Seperti kebiasaan program pemukiman adalah pentas bebas rakyat berinteraksi dengan Menteri Besar. Selain  menjadi bahan kerumunan orang ramai yang mahu mendekati dan berswafoto dengannya, Menteri Besar ada missi jauh lebih besar.

Rakyat perlu dibela walaupun ada ketika pembelaan itu tidak nampak dengan ketara.

Tetapi seperti kebiasaan, tidak ada yang terpinggir sewaktu program ini. Pendek kata yang datang jarang pulang kehampaan. Kalau lambat memperoleh hasilpun ia berbaloi menunggu kerana “permohonan” mereka tetap ditunaikan.

Tetapi kalau mereka yang datang semata-mata mahu melobi atau memperoleh konsessi balak,lupakan. Yang pasti, mereka pulang tangan kosong.

Menyedari program permukiman sering memihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan merupakan satu senjata berkesan, pembangkang dilihat cuba “mensabotaj” pemikiran rakyat--satu demi satu isu dtimbulkan.

Dan yang terbaru (Rabu) sewaktu Datuk Seri Dr.Zambry Abd. Kadir sibuk dengan program bertemu rakyat, pembangkang (pakatan harapan) mengadakan satu sidang media berhubung  “isu pengundi.”

Bukan saja PKR, DAP sebelum itu  turut menguji Menteri Besar. Penasihat DAP Perak,  Ngeh Koo Ham dalam satu kenyataan berkata “penggantungan itu mengejutkan” dan pada masa sama meminta Zambry menjelaskan isu  Perak Corp Bhd yang digantung daripada menjalankan sebarang urusniaga di Bursa Saham Malaysia.

Ketika memulang paku buah keras,  Zambry menjawab dengan pedas:”Dia (Ngeh) sebagai peguam yang berpengalaman, dia sepatutnya tahu peraturan yang meilbatkan syarikat yang disenaraikan di bursa saham. Dia tahu saya tidak boleh jawab sebab itu berkaitan dengan Suruhanjaya Sekuriti tetapi dia ambil kesempatan politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dataran Amanjaya Manong di Manong pada Rabu.

Beberapa hari lalu PKR Perak dalam gimmick terbaru membuat lawak bodoh dengan membawa bersama-sama sebuah alat mesin fotostat dan diletakan di depan pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Mereka  berpos didepan mesin sebagai tanda menyindir SPR.

Konon PKR mendakwa mereka tidak dibekalkan salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku pertama 2017.

Semalam (Rabu), beberapa orang ADUN pembangkang dari keturunan India dalam sidang  media mendakwa  wujudnya satu sindiket  sedang bergerak aktif memindah pengundi secara tersusun. Tujuannya dakwa mereka, bagi memastikan kemenangan BN.

Mereka mendakwa  kawasan-kawasan  yang menjadi sasaran sindiket itu ialah di kawasan yang dimenangi tipis sama ada oleh calon pembangkang atau BN pada PRU-13 lalu termasuklah di DUN Hutan Melintang.

Mereka minta pihak polis menyiasat  laporan   Adun PKR Hutan Melintang, Kesavan Subramaniam terdapat  tiga pemimpin MIC Bahagian Lumut dan anggota keluarga mereka telah berpindah alamat  ke dalam kawasan DUN Hutan Melintang.

Walaupun bertubi-tubi diserang program pemukiman YAB MB Perak bermula Selasa berjalan rancak. Penduduk di Kuala Kangsar tidak peduli kerenah pembangkang. Mereka cenderung kepada politik pembangunan yang diamalkan Zambry dan BN negeri.

Ketika di Karai pada pagi Selasa, Menteri Besar bersarapan bersama-sama lebih 100 warganya. Pekan kecil ini terkenal dengan kuih kundas, yang turut dinikmati Zambry.

Seperti kebiasaan, sewaktu menikmati makanan Zambry tidak menghalang orang ramai datang meminta bantuannya. Dengan senyuman serta sifat ramah, beliau melayani kerenah orang-orang yang berhajat itu.

Ia disusuli merasmikan papan tanda perangi dadah di hadapan pejabat pos di pekan ini sebelum melakukan walkabout di pasar pagi. Rombongan beliau yang ditemani beberapa orang wakil rakyat dan EXCO terus ke Pos Perwor  bertemu dengan masyarakat Orang Asli.

Kira-kira 500 penduduk Orang Asli sekitar Daerah Kuala Kangsar menerima bantuan kotak barangan keperluan harian, yang disumbangkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan institusi agama di negeri ini. Bantuan itu disampaikan  Menteri Besar ketika Ziarah Mahbbah di Pos Perwor dan Kg Chermin di samping ketika Karnival Mahabbah di Kg Bawong.

Bagi masyarakat orang asli, mereka gembira dengan pengumuman Menteri Besar bahawa projek-projek pembangunan untuk kemudahan masyarakat Orang Asli di Perak akan diteruskan. Itu berita yang sering mereka tunggu-tunggu.

Dan bagi Zambry, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan perkampungan Orang Asli, selaras dengan slogan Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir. Contoh, jalan ke Kuala Mu kini telah ditar, jauh lebih baik ketika lawatan beliau tahun lalu.

Untuk rekod, Zambry yang pernah menjadi guru mengambil kesempatan merai serta mengucapkan selamat hari guru kepada semua warga pendidik. Ia dilakukan di perkarangan masjid Kampung Orang Asli Bawong, sempena Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei.

Kalau yang masih ingat ayat favoritnya, sebagai tanda penghargaan kepada warga pendidik ialah . . . . “merekalah yang mendidik kita sehingga menjadi manusia hari ini.” Ini bukan saja diucapkan, bahkan menjadi amalannya.

Ketika melancarkan sambutan  Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Kangsar & Kempen Sekolah Yang Bersih Peringkat Negeri Perak di Dewan Hamdan, SMK Cliford (Rabu),Zambry berkata tugas guru kini kian mencabar. Katanya, mereka kini bukan lagi menjadi sumber rujukan utama para pelajar. “ . . .  sumber rujukan pelajar sekarang telah berubah kepada telefon pintar. . . .  agak malang apabila maklumat yang diperolehi melalui telefon pintar tidak semuanya benar.”

“Sebab itu, peranan dan tugas guru sekarang  lebih mencabar untuk memberitahu anak-anak murid, mana yang betul, mana yang palsu,” tambahnya.

Katanya  “walaupun mereka mungkin tidak mempunyai keistimewaan, tetapi jasa guru sentiasa dikenang dan tidak boleh dihitung,” justeru beliau berharap guru-guru meneruskan usaha mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna, baik melalui pendidikan formal ataupun sebaliknya.-18/5/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 708  tetamu dalam talian