21Oktober2017

DBKL kenal pasti empat punca banjir kilat dan langkah mengatasinya

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti empat punca kejadian banjir kilat di sembilan buah jalan sekitar Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebab yang pertama adalah intensi hujan yang tinggi di mana bacaan tolok hujan di Lebuh Pasar pada hari kejadian mencatatkan keamatan hujan sebanyak 50 milimeter (mm).

Menurutnya, longkang-longkang sedia ada di Kuala Lumpur direka bentuk untuk tampung keamatan hujan sebanyak 50mm, namun begitu dengan faktor masa dan persekitaran, kapasiti untuk menampung hujan akan berkurangan disebabkan faktor keuzuran longkang.

"Kedua, saluran keluar air terhalang oleh mendapan pasir dan sampah tepi jalan. Seterusnya, yang ketiga pula akibat saluran air keluar dari jalan ke longkang tidak mencukupi.

"Dan, faktor keempat adalah kerana terdapat kelodak hakisan tanah disebabkan kerja pembangunan tanah di sekitar kawasan terbabit," katanya.

Tengku Adnan berkata, dalam hal ini, DBKL telah mengenalpasti lokasi yang kerap berlaku air bertakung semasa hujan lebat dan cadangan penyelesaian untuk itu sedang disediakan.

Katanya, bagi lokasi Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail, cadangan untuk menaik taraf longkang akan dilaksanakan tidak lama lagi di mana kontraktor bagi projek penaiktarafan telah dilantik DBKL.

Bagi kenalpasti banjir kilat di Jalan Pantai Baharu pula, kerja akan dilaksanakan sekali dengan kerja menaik taraf kolam takungan bajir Universiti Malaya (UM) di mana proses tender sedang dijalankan ketika ini.

Tambahnya, pada umumnya, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur pada 14 mac lalu tidak menyebabkan jalan perlu ditutup. Kenderaan masih boleh dilalui walaupun agak perlahan kerana kelazimannya banjir kilat akan surut dalam masa yang singkat.

Mengulas tentang peruntukan  DBKL selama tiga tahun bermula tahun 2015 sebanyak lebih RM600 juta untuk projek penaiktarafan, beliau menjelaskan, kerja-kerja ini telah ditenderkan dan telah dikenalpasti.

"Ini mengambil masa kerana urusan tender dan kajian. Kuala Lumpur adalah bandaraya yang masih membangun.

"Faktor-faktor kenaikan air adalah berbeza mengikut suatu kawasan lain kerana ketika itu pembanguna tempat ini telah selesai dalam segi penaikan taraf dan banjir ini beralih ke tempat lain," katanya.

14 Mac lalu, sebanyak sembilan jalan utama di sekitar ibu kota terjejas akibat dilanda banjir kilat kira-kira 5.40 petang.

Lokasi-lokasi yang terjejas merangkumi Jalan Bangsar; Jalan Kemuja; Jalan Maarof; Jalan Sultan Ismail persimpangan Jalan Ampang; Jalan Pantai Baru; Jalan Pudu; Jalan Raja Chulan berhampiran Ambank dan Muzium Telekom; Jalan Maharajalela serta Jalan Permaisuri.-17/3/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1029  tetamu dalam talian