15Disember2017

Bandar Malaysia tidak terjejas dengan pembekuan projek mewah

Projek Bandar Malaysia tidak akan menjadi antara projek pembangunan yang terjejas oleh moratorium kabinet mengenai pembekuan pembangunan mewah di Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia kerana kelulusan projek tersebut telah diberikan secara dasarnya dan tidak akan menahan projek yang diberi kelulusan awal.

"Pihak kementerian akan berbincang dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu lambakan hartanah yang berlaku di Kuala Lumpur.

"Pihak kementerian akan meneliti setiap masalah yang dilaporkan di dalam laporan BNM sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan ahli parlimen Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan - PKR) yag ingin tahu adakah Bandar Malaysia dan The Razak Exchange tersenarai sebagai projek pembekuan pembangunan mewah di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, dilaporkan kerajaan persekutuan memohon penangguhan ke atas beberapa jenis pembangunan hartanah mewah di Kuala Lumpur.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah berhenti mempertimbang atau meluluskan projek pembangunan kompleks beli-belah, pejabat, pangsapuri dan kondominium mewah berharga RM1 juta ke atas di ibukota berkuatkuasa 1 November.

Perkara ini susulan lambakan hartanah sedemikian di pasaran.

Menurut laporan itu, permohonan sedia ada termasuk pengubahsuaian plan bangunan yang sudah menerima kelulusan pembinaan perlu mendapat kebenaran sebelum Januari 2018.

Terdahulu, Tengku Adnan turut memberitahu Dewan Rakyat, mengikut laporan BNM, sebanyak 130 690 unit hartaah residensi yang masih tidak terjual dan daripada jumlah tersebut sebanyak 83 peratus merupakan unit yang berharga RM250 ribu.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak 14 peratus merupakan hartanah di Kuala Lumpur dan 21 peratus di Selangor yang masih kosong dan tidak dijual. Rumusan yang diperolehi berdasarkan kajian yang dibuat ialah kekurangan penawaran bagi unit-unit rumah mampu milik," katanya.

Tambahnya lagi, sebagai rekod, sebanyak 170 095 permohonan yang diterima untuk rumah mampu milik tetapi penawaran hanyalah 44 064 unit.

"Oleh itu, kementerian akan meneruskan usaha untuk menyediakan perumahan mampu milik yang dilihat dapat mengurangkan beban rakyat terutamanya di Wilayah Persekutua Kuala Lumpur," katanya.-23/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 912  tetamu dalam talian