02September2014

5,000 petugas BN Lumut bersedia gempur pembangkang

lumutgegarxx
Barisan Nasional Lumut kini bersedia menghadapi pembangkang dalam PRU ke 13 tidak lama lagi.

Kira-kira 5,000 orang menghadiri perhimpunan jentera BN parlimen Lumut di Marina Island,Teluk Muroh,Lumut Ahad.

Dalam ucapannya Pengerusi BN bahagian Lumut Dato Seri Dr.Zambry Abd Kadir mengingatkan mereka betapa penting kerja kuat dalam membantu jentera parti memenangi siapapun calon yang diletakan mewakili BN.

Pada satu ketika Dr.Zambry bertanyakan petugas BN mengenai peluang Dato’ Seri Kong Cho Ha sebagai calon. ”Boleh, boleh” balas mereka, merujuk peluang kemenangan calon BN dari MCA yang kini Menteri Pengangkutan.

Isu peluang Cho Ha mempertahankan kawasan itu menjadi spekulasi panas kerana dalam pilihanraya lalu,undi yang diperolehi merosot. Ia hampir tewas pada calon pembangkang yang kurang dikenali.

Dalam PRU ke12, Cho Ha menang tipis dengan kelebihan 298 undi. Dalam PRU ke11, Cho Ha memperoleh kelebihan undi sebanyak 11,614.

Walaupun kemenangan wakil MCA itu tipis, BN mencatat kemenangan bergaya di DUN Pangkor dengan memperoleh majority lebih dari pilihanraya sebelumnya.

Calonnya, Dr.Zambry memperoleh 10,906 undi mengalahkan calon PAS, 5,121 undi ataupun majority dicatatkan ialah 5,785. Dalam PRU ke11, beliau mendapat majoriti hanya 5,669.

Bagi DUN Pasir Panjang, calon PAS, Nizar Jamaluddin menang dengan memperoleh 11,994 undi berbanding calon BN, Dr.S.Vasan, hanya 7,520 undi. Dalam pilihanraya terdahulu calon BN, M.Ramachandran menang dengan mendapat 1,644 undi.

Keputusan di Sitiawan menampakkan calon DAP, Ngeh Koo Ham diberikan sokongan padu oleh pengundi-pengundi Cina apabila dia memperoleh 12,381 undi berbanding, calon BN, Ding Siew Chee, 3,852 saja.

Senario PRU ke12 diulas Dr.Zambry dengan mengingatkan peluang BN kini lebih baik kerana pembangkang gagal menunaikan janji serta berada dalam keadaan berpecah.

Untuk rekod parlimen Lumut mempunyai 88,000 orang pengundi iaitu kedua tertinggi selepas Gopeng.

Kepada jentera pilihanraya bahagian berkenaan, Dr.Zambry menekankan kemenangan boleh dicapai jika mereka meletakan BN didepan mengatasi kepentingan peribadi dan individu. “Setiap satu undi boleh menentukan kemenangan BN.”

Katanya “pilihanraya kali ini adalah pertembungan antara BN dan Pakatan. Ianya bukan soal si polan lawan si polan. Maka sesiapa sahaja yang diputuskan pucuk pimpinan untuk bertanding sebagai calon, kita hendaklah sokong dan bekerja memenangkan calon itu.”

Dr.Zambry teruja dengan kehadiran 5,000 orang. Katanya, beliau dan Cho Ha gembira kerana ini sebagai satu tanda kesungguhan serta komitmen petugas untuk memastikan kemenangan BN.

Semangat dari ahli-ahli BN serta anak-anak muda membantu jentera BN secara positifnya dianggapnya agak luar biasa.

Beliau bagaimanapun tidak bimbang kemampuan pembangkang yang sering memperkecilkan sokongan rakyat terdahap BN kerana “itulah saja kerja mereka asyik memperlekeh kita. Mereka sengaja melancar perang saraf bagi mengugat keyakinan kita.”

Beliau memberi contoh perayaan CNY peringkat negeri di Gopeng yang dihadiri 10,000 orang diperlekeh konon “crowd” itu kerana kehadiran selebriti.

Dalam majlis itu suasana gamat dengan diiringi teriakan petugas sebagai memperlihatkan sokongan. Kadangkala suara Dr.Zambry tenggelam dalam keriuhan itu.

“Mereka kata kita takut, mereka kata kita lembik…saya kata kita tak takut,” katanya disambut dengan teriakan ‘kita lawan’ daripada jentera parti.

Bagi Dr Zambry BN sentiasa mengikut resam ‘padi dan ubi’ iaitu diam-diam berisi dan pembangkang hanya akan sedar kekuatan BN apabila tiba masanya nanti.

Mengenai dakwaan konon golongan muda menyokong pembangkang, bukan BN seperti sering didakwa pembangkang, petugas BN menjerit:‘tipu’ ‘tipu.’

Apabila Dr.Zambry mendedahkan bagaimana ADUN Pasir Panjang Nizar mendakwa 80 peratus kakitangan kerajaan sokong pembangkang, mereka menjerit “tipu, tipu”.

“Itulah kerja dia (Nizar) berbohong, berbohong sehingga dia digelar pembohong bersiri. Segala-galanya dia nak tipu,” katanya.

Dr Zambry berharap kesilapan pilihanraya lalu ( 2008) tidak akan berulang kali ini.”“BN kalah pada pilihanraya sebelum ini kerana wujud persepsi bahawa ‘BN tentu menang’ sehingga ramai yang tak keluar mengundi.”

“Kali ini, saya mahu jentera pastikan semua keluar mengundi. Kita telah letakkan seorang jentera jaga 10 pengundi dan dengan jumlah 5,000 jentera yang kita ada, BN pasti dapat 50,000 undi.”

Menteri Besar berpesan: “Inilah hasil kerja kuat kita sejak empat tahun lalu. Jangan sia-siakan segala-gala usaha kita dengan pastikan BN menang dan kekal memerintah Perak.”- OLEH YUSOF HARUN - 17/2/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 764  tetamu dan tiada rakan dalam talian