24September2014

Masterchef: Kalau Ah Hong menang kami tak malu

masterchef
SIAPA tonton Masterchef Malaysia Kedua tentu kenal dua wajah ini. Mereka adalah antara peserta yang gigih tetapi kecundang dan tidak sampai ke peringkat akhir untuk jadi juara.

Bagi Ahmad Nuruddin Rasid dan Hafiz Bukhari anggap rezeki dan tuah tidak menyebelahi mereka. Kerana walaupun tidak dapat apa yang dihajatkan, namun, mereka mendapat sesuatu yang lebih berharga - iaitu nilai persahabatan.

Sebelum Masterchef Malaysia Kedua, mereka tidak punya rakan yang boleh satu kepala berkongsi minat yang sama.

Kerana Nuruddin atau Din yang menguruskan homestay miliknya di Sungai Petani di mana dia hanya perlu berurusan dengan enam pekerja. Begitu juga dengan Hafiz, pramugara MAS yang tidak punya ramai kawan kerana masa bekerjanya yang tidak menentu.

Bukan senang dapat kawan yang saling memahami, berkongsi minat yang sama dan boleh serasi dalam apa jua. Inilah yang membuat kedua mereka sangat bersyukur kerana dipertemukan kerana pada hakikatnya bukan senang untuk menyesuaikan diri dalam suasana yang serba mencabar, mental dan fizikal.

Pada minggu kedua, Hafiz dan Din jadi sahabat ketika mereka sama-sama menjayakan promo untuk siri tersebut. Mereka kemudian ditempatkan di rumah yang sama dan berkongsi bilik pula.

Dalam suasana yang sangat mencabar, bukan semua orang boleh serasi atau ngam bersama. Maklumlah, ramai orang, banyak pula ragamnya. Masing-masing dari latar belakang yang sangat berbeza. Sudah tentu sikap dan pendirian tidak serupa.

Mereka memang nak menang ketika masuk rancangan itu kerana ia platform untuk terus maju dalam bidang memasak di bawah bimbingan chef-chef terkemuka. Tetapi hari ini, sekalipun tidak berjaya masuk dalam empat peserta terbaik sekalipun, mereka bersyukur kerana mereka beroleh sesuatu yang sukar dinilai dengan wang ringgit - iaitu persahabatan.

"Kami dapat lebih dari 100,000. Bukan senang dapat kawan yang ada minat sama serta memahami satu sama lain," kata Din.

Banyak orang banyak pula ragamnya. Dari 40 orang, kemudian tinggal 24 orang. Hari-hari memadang muka yang sama, dalam ruang terhad dengan waktu yang panjang dan sangat meletihkan.

Apa yang di kaca TV, bukan semuanya berlaku begitu. Memang itulah produksi tv. Orang putih kata, you don't get to see everything. Misalnya, ketika kesemua peserta masuk di pintu besar dapur MM, mesti dengan senyum lebar, walaupun sebetulnya badan letih, mata mengantuk. Jika tidak, kena "retake" (diulang, dibuat berkali-kali). Begitu juga ada sajian peti misteri yang bersepai ke lantai kerana peserta perempuan yang gopoh membukanya sebelum mula, terpaksa diulang semula. Dan, ada juga rakaman yang tidak habis, terpaksa disambung esoknya; jadi pakaian yang sama dipakai supaya "conti" tidak lari.

Rasa kesian pula dengar cerita dua sahabat ini. Bayangkan, bagaimana rasanya hidup terkurung dalam sebuah rumah - bangun subuh hari untuk bersedia pergi ke studio jam 7 atau 7.30 pagi, kemudian pulang semula pada tengah malam untuk bersihkan diri dan tidur. Esoknya rutin berulang.

Dalam tujuh hari seminggu, cuti hanya sehari. Cuti bermakna, rehat dan keluar dari rumah ke tempat-tempat yang ditetapkan oleh petugas khas yang juga akan bersama-sama ke tempat tersebut. Oh ya, di rumah, segala bentuk komunikasi tidak dibenarkan Bermakna, telefon bimbit atau internet dilarang.

"Jika masa kita dibawa berihat atau jalan-jalan, tetiba bertembung kawan atau ahli keluargapun tidak boleh berbual dengan mereka. Kalaupun dibenarkan telefon keluarga, hanya sekejap dan di hadapan pembantu khas. Segala perbualan kita adalah depan mereka," cerita Din, pengusaha homestay dari Sungai Petani yang telah tersingkir baru-baru ini.

Begitulah hakikatnya sebuah program realiti, hanya yang saya tertarik dengar  tentang  bagaimana mereka yang datang dari latarbelakang berbeza, tidak kenal satu sama lain, hidup dan bergaul saban hari di rumah dan di lokasi. Sudah tentu ada perangai yang tidak boleh kita tahan dan ada yang jadi terlalu terdesak untuk menang sehingga sentiasa tidak tenang dan lebih dari itu, tidak mempedulikan orang lain.

Dan, ada juga yang sombong, suka cakap besar, ada pula yang suka naik angin dan ada pula yang duduk serumah, tapi tak pernah basuh pinggan  atau cawan sendiri.

"Selalunya habis shooting, sampai rumah tengah malam pun kami akan masak. Selalunya saya, Din, Fizuan dan Ah Hong kerana kami jemu dengan masakan katering yang disediakan. Jadi, kami suka masak dan reka macam-macam jenis masakan," cerita Hafiz.

"Selalunya bila habis masak kami akan kemas dan biar dulu kerana kami suka makan beramai-ramai. Tapi ada seorang peserta itu, dia akan terus datang makan seorang diri dan tinggalkan saja pinggan begitu saja. Sedikitpun tak tolong kemas. Kalau dia tonton tv pun, cawan atau mangkuk dia mangkan akan dibiar begitu saja." kata Din pula.

Sepanjang dengar mereka bercerita, memang jelas kedua anak muda ini serasi. Mereka bagaikan sudah kenal bertahun-tahun. Mereka juga tidak menyangka, masakan menyatukan mereka sebagai sahabat karib.

"Saya boleh kenal masakan yang dimasak oleh Din, kalaupun orang tidak beritahu yang makanan itu Din yang sediakan. Kerana Din, sudah ada trade mark dia. Masakannya mesti ada rempah ratus, dia suka guna macam-macam jenis rempah," kata Hafiz.

Manakala Din pula, bila bercakap pasal Hafiz. "Dia adalah King of Plating. Saya kalau tengok plating yang bersih dan kemas, saya tahu itu kerja Hafiz kerana peribadi dia begitu.

Tambah Din, "Rumah kami antara yang kemas dan tersusun rapi sekalipun ada tukang cuci datang seminggu sekali, tapi setiap hari kami bersihkan, terutama Hafiz. Dia jaga bab itu. Dalam bilik kami, 20 pasang kasut dia susun rapi, kalau tali pinggang beratus-ratus macam-macam warna, begitu juga baju. Dia takkan pakai baju yang sama dua kali. Sebab itu bila dia tersingkir, saya terasa, sebab bilik kami kosong.

"Terasa memang sebab sekalipun saya tidak mampu untuk jadi seperti dia, tapi saya suka kemas. Ah Hong pun sebenarnya seorang yang pembersih," kata Din.

"Saya rasa rumah kami adalah yang paling gembira penghuninya kerana kami semua ceria dan boleh hidup dengan selesa. Kalau seorang kena masuk pusingan penyingkiran esoknya, malam itu kami akan bantu dia ulangkaji untuk persiapkan diri,"

Macam mana pulak dengan komen-komen pedas dalam sesi temubual yang disiarkan dalam rancangan itu?

Sambil ketawa Din menjelaskan, "Sesi itu biasanya dibuat selepas rakaman, selagi tak habis sesi itu tak boleh balik. Biasanya dah tengah malam, kami dalam keletihan, dan bila kena pusingan yang kami kalah, mood kami tentulah tidak berapa baik.

"Jadi, ada kalanya kami bengang, letih mereka bakar pula hati dengan soalan panas. Di situlah tempatnya kami luahkan perasaan, maklumlah kadangkadang tertekan, nak gaduh pun tidak boleh jadi luah sajalah.'

Hafiz pula menambah, "Sebenarnya semua itu rakaman, kalau ada komen laser dari kami bukanlah bermakna kami jahat. Sebetulnya ada peserta yang lagi bisa mulutnya, tapi dipotong. Semua ini kerja produksi, ada peserta yang mereka mahu kelihatan baik dan ada yang mungkin, sengaja mahu dipanaskan. Banyak yang orang luar tak tahu, mungkin itulah cara sebuah realiti show."

Siapa mereka harap untuk menang?

Ah Hong, kami harap dia menang. Sekurang-kurangnya kita tidak malu jika dia jadi juara," kata Din dan Hafiz.-1/12/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 994  tetamu dalam talian