16Januari2018

Hari-hari terakhir bersama Sharifah Aini...

odah4-okKepulangan Biduan Negara Datuk Sharifah Aini ke rahmatullah Sabtu pagi, 5 Julai  masih mengejutkan kita. Bagi saya...ia bagaikan satu mimpi.Kak Ani atau ada juga yang memanggilnya Kak Pah akan sentiasa segar dalam ingatan sebagai biduanita yang memiliki kelas tersendiri. Anda tidak akan jumpa dia bersepah di mana-mana majlis hiburan, sebaliknya sangat eksklusif.

Namun, dengan sifat eksklusifnya itu beliau orang yang mudah mesra. Baik dengan artis mahupun dengan peminat dan pihak media kerana dia memiliki sifat-sifat keibuan - lembut dan penyayang tapi tegas dalam pendirian.

Sebagai wartawan hiburan di Berita Harian dulu,saya adalah antara sekian ramai orang yang mengenali beliau sejak tahun 80an.

Ketika itu pun beliau sudah memiliki ciri-ciri eksklusif dan hanya sedia ditemubual jika beliau kata ya. Jika tidak, wartawan dan jurugambar akan pulang dengan tangan kosong.

Seringkali ia kerana dia tidak sihat atau terganggu fikiran dan tidak ada mood.Tapi selalunya dia akan "cover" balik dan memberikan peluang untuk bertemunya dalam suasana yang sangat menyenangkan yang membuat anda rasa sangat istimewa.

Itu, kelebihan Allahyarham yang semulajadi. Kerana itu, tanyalah artis-artis atau orang media yang pernah ke rumahnya, dia adalah host yang sangat hebat yang boleh membuat tamu rasa sangat dihargai dan disayangi.

Buat saya beliau seorang biduanita yang sangat tinggi budi pekerti dan menghargai nilai persahabatan.

Di antara kami pernah ada sejarah 'putus hubungan', mungkin silap saya kerana terlepas pandang akan kehalusan jiwa insan seni sepertinya.

Lama kami tidak bertegur sapa.

Jujurnya saya tidak menyenangi keadaan itu kerana kami pernah rapat dan sering ke rumahnya ketika di Jalan Bangsar dan di Jalan Persekutuan.

Saya juga hadir di perkahwinannya dengan Ali Bakar yang waktu itu masih boss di bahagian pemasaran NST, Dan, setiap kali dia ada lunch date dengan Ali, dia pasti singgah dan kami berbual.

Dengan usaha murni seorang sahabat karib, kami disatukan semula.

Dan saya ingat lagi bila kami jumpa semula dia katakan pada saya, "Life is too short.Esok lusa kalau salah sorang dari kita pergi dulu, tak sempat nak mintak maaf."

Saya sangat bersyukur kami teruskan silatulrahim dan maju sebagai sahabat seperti dulu. Sebagai artis berstatus Biduan Negara, saya sanjung tinggi sikapnya untuk melupakan kisah silam. Bermakna beliau seorang pemaaf dan tidak menyimpan dendam.

"Allah maha kaya Oda temukan kita semula. Kita ni nak hidup selama mana, lambat laun ke sana juga. Biarlah kita menghadap Dia nanti dengan tenang," itulah kata-katanya beberapa bulan lalu sewaktu berbual di telefon.

Benar katanya, hidup ini terlalu singkat untuk tidak menghargai nilai persahabatan.Saya sangat bersyukur kerana Tuhan membukakan pintu hati kami ke jalan yang baik. Dan dia pernah tulis tentang sejarah kami ini dalam facebooknya.

Bulan lalu, lepas tiba-tiba senyap dari facebook, saya mesej beliau berkali-kali bertanya khabar mengapa tidak update facebook. Langsung tiada jawaban.

Sehinggalah suatu petang beliau telefon untuk memberitahu berita sedih kepergian Kartina Dahari. Suaranya serak-serak dan beliau batuk-batuk.

Seminggu kemudian, saya dan Norisah Sulaiman bekas pegawai perhubungan awam EMI, setelah berulangkali saya mesej untuk berjumpa, beliau pelawa kami datang ke hospital.

Tanpa berlengah, saya terus ajak Norisah ke hospital, sekali dengan anak saya.

Itulah kali pertama saya melihat Kak Ani dalam keadaan yang belum pernah kami lihat sebelum ini. Dan ketika itulah dia memberitahu kami betapa seriusnya penyakitnya.

Banyak yang kami bualkan, termasuk keinginannya untuk membetulkan akhiran yang baik dengan bekas suaminya. Dia juga minta saya tulis tentang rancangan-rancangan gosip dunia hiburan tv. "You must write something Oda about these,".

Ketika melangkah keluar hospital, baik saya dan Norisah, wajah kami penuh kebimbangan.

Seminggu kemudian, ketika saya dalam perjalanan ke Universal Studio Singapura, Kak Ani telefon, mengajak saya dan rakan-rakan ke rumahnya kerana dia sudah keluar hospital. Saya kata okay, saya mesti datang.

Sekali lagi saya bawa anak saya bersama. Itulah kali terakhir kami berjumpa di rumahnya sekali dengan Datuk DJ Dave dan Datuk Khatijah Ibrahim. Turut sama seorang lagi rakan, Shafiee Yusof, jugas bekas kakitangan EMI.

Kak Ani adalah artis paling lama, paling setiap dengan label EMI.

Malam itu bila saya pulang, saya mesej Kak Ani ucap terima kasih kerana dia bekalkan anak saya cupcake yang sangat cantik dan sedap.

Pada masa yang sama meminta maaf kerana anak saya yang banyak tanya itu dan ini. Mengapa peti aisnya dua dan besar, mengapa dapurnya ada banyak dan macam-macam.

Kak Ani menjawab mesej saya; "Love U Odah. Allah maha kaya temukan kita semula, Anak u to cute sangat. Moga dia jadi anak yang soleh. Lets meet again."

Mesej itu saya terima 11 June.

2 Julai bila saya ucap selamat pada hari lahirnya, tiada jawaban....rupa-rupanya itu adalah yang terakhir dari Kak Ani.

Kepada Allah SWT saya mohon agar segala dosanya diampunkan dan di tempatkan Kak Ani di kalangan hambanya yang diredhai...-5/7/2014 - OLEH SAODAH ISMAIL







Jenazah Sharifah Aini selamat dikebumikan

sharifah-jenazah


Jenazah biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar  selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini kira-kira pukul 12.10 tengah hari Sabtu.

Allahyarham sebelum itu dimandikan dan disembahyangkan sebanyak tiga kali di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) kira-kira pukul 10 pagi.

Anak Sharifah Aini, Aliff Omar Ali (gambar) meminta semua pihak menghalalkan semua kesilapan yang dilakukan ibunya dan berdoa untuk arwah.

"Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan terima kasih kepada semua yang mengambil berat kepada arwah ibu," katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

sharifah-aliff

Katanya, ibunya ada meninggalkan pesan buatnya dan keluarga tetapi terlalu peribadi untuk dikongsi.

Beliau yang sedang melanjutkan pengajian Madinah berkata, beliau kebetulan sedang bercuti tiga bulan.

Selain Aliff turutn mengiringi jenazah adalah sanak saudara dan rakan artis antaranya Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datin Umie Aida, Rohana Jalil, Herman Tino, Khadijah Ibrahim dan penulis lirik dan lagu, LY dan Baiduri serta Presiden Yayasan Artis Satu Malaysia, Datuk DJ Dave.-5/7/2014



PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 961  tetamu dalam talian