22September2018

Hajat Sharifah Aini yang tak sampai... - Ramli MS

ramlims-shahrifahHajat Datuk Sharifah Aini untuk rakam album terbaik yang memuatkan lagu-lagu klasiknya tidak kesampaian disebabkan masalah kesihatan yang terjejas sejak beberapa tahun lalu.

Album yang memuatkan sebanyak 28 lagu-lagu terbaik darinya itu sudahpun siap dirakam bersama iringan muzik orkestra yang mega dan hanya menanti saat untuk memuatkan vokal beliau.

Namun, disebabkan masalah kesihatan rakaman vokal telah tertangguh sekian lama sehinggalah ke saat penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Damansara, Sabtu, 5 Julai lalu, tiga hari selepas hari lahirnya ke 61 tahun.

Perkara ini didedahkan oleh penerbit album tersebut, Datuk Ramli MS sehari selepas kematian Allahyarham, dalam satu pertemuan di Bukit Jalil, selepas rakaman khas bersama, bertajuk, Mengenang Datuk Sharifah Aini.

Ketika ditemui selepas rakaman itu, kondutor muzik yang tidak asing lagi ini menceritakan secara terperinci butiran album yang kini dianggap sebagai satu amanah yang terpaksa dipikul dengan baik.

Menurutnya, Allahyarham telah menemuinya meminta beliau menerbitkan album khas yang berformat besar, iaitu dirakam bersama iringan muzik orkestra yang penuh.

"Jika ikut citarasa arwah, beliau mahupun orkestra yang sangat mega, beratus pemuzik tetapi itu adalah satu perkara yang sangat sukar dan saya jelaskan kepadanya ia melibatkan belanja yang bukan sedikit.

"Namun, kemahuan untuk dapatkan iringan muzik orkestra saya usahakan juga tapi bukanlah seramai yang beliau mahukan. Dan kesemua 28 lagu sudahpun siap dan hanya menanti masa untuk masuk vokal sahaja," kata Ramli.

Ditanya mengenai 28 lagu, Ramli berkata ia dipilih dari lagu klasik terbaik yang pernah dinyanyikan penyanyi itu termasuk lagu Buruang Pungguk dan Seri Dewi Malam.

Namun, Ramli menceritakan, pada awalnya Allahyarham mencadangkan bebebrapa lagu dari penyanyi lain, tapi beliau sendiri membantah dengan menjelaskan kepadanya bahawa beliau seharusnya menyanyi lagu sendiri dan bukan lagu orang lain.

"Saya jelaskan bahwa kerana beliau adalah Sharifah Aini, jadi beliau harus nyanyi lagu sendiri. Untuk apa beliau menyanyi lagu orang lain kerana beliau bukan calang-
calang penyanyi," katanya yang kemudiannya dapat diterima oleh Allahyarhamah dengan baik.

"Kalau ikut citarasa arwah beliau mahu orkestra yang maha besar, seperti mana artis Barat. Contohnya seperti album Josh Groban yang memberikan perhatian pada iringan muzik secara live dari orkestra.

"Itu, hajat beliau, Meskipun bukanlah dalam orkestra yang penuh sampai beratus pemuzik tetapi rakaman untuk 28 lagu itu telah dibuat dengan menggunakan iringan muzik orkestra seperti yang dimahukan dan hanya menunggu masa untuk masukkan vokal saja," tambahnya.

Menurutnya, kerana disebabkan batuk yang teruk, suara penyanyi terjejas apabila usaha pertama untuk merakamkan vokal dilakukan di studio.

"Album itu tertunda atas dua sebab. Pertama kerana isu penjiwaan lagu dan kedua kerana kesihatan. Isu penjiwaan yang saya maksudkan ialah, cara lagu itu dibawa. Kerana ia berformat muzik yang besar dan moden, sudah tentu lagu Seri Dewi Malam tidak boleh sama dengan Seri Dewi Malam yang beliau nyanyi zaman Datuk Ahmad Nawab. Itu saya jelaskan kepadanya.

"Dan masalah kedua yang buat saya batalkan rakaman vokal adalah kesihatan. Bila beliau menyanyi, beliau batuk, bukan batuk biasa pada pendengaran saya, tapi batuk yang sangat luarbiasa.

"Saya ini adalah seorang penerbit dan berpuluh tahun dalam dunia rakaman, kerja saya adalah mengesan bunyi. Dan bila beliau menyanyi telinga saya dapat kesan ia bukan batuk biasa hinggakan gelombang (frequency) mencatatkan kesan yang abnormal.

"Ketika itu saya terus katakan bahawa rakaman tidak boleh diteruskan dan beliau perlu pulang berihat dan kembali masuk studio semula apabila sihat dan bersedia," katanya.

Cerita Ramli lagi, selepas peristiwa di studio itu, beliau hanya menunggu lampu hijau dari penyanyi tersebut untuk menempah studio rakaman bagi meneruskan rakaman vokal yang tertunda.

Namun, tidak menyangka masalah paru-paru penyanyi itu semakin serius dan akhirnya berakhir dengan kepulangannya Sabtu lalu.

Menyiaftkan ia satu legasi dan amanah besar untuk beliau laksanakan, beliau juga sedih kerana hajat Allahyarhamah untuk menghasilkan album mega itu tidak tercapai.

"Apa boleh buat tidak ada rezeki, beliau pergi terlebih dulu. Sekarang ini saya terpaksa pikul tanggungjawab untuk mencari penyanyi lain pula dan itu bukan satu tugas yang mudah," katanya.

"Saya kata ia bukan tugas mudah kerana siapapun penyanyi yang saya pilih untuk album itu akan berdepan masalah kontrak dengan syarikat masing-masing. Ini satu masalah juga," katanya.

Namun, tegasnya, betapa sukarpun keadaan itu kelak, ia satu amanah yang harus dilaksanakan kerana beliau sudah dibayar penuh oleh Allahyarham.

"Allahyarham sudah bayar untuk semua 28 lagu, jadi saya kena langsaikan tanggungjawab ini. Dan album ini adalah harta milik beliau yang akan saya serahkan kepada pihak yang menguruskan kesemua harta Allahyarham," katanya merujuk pada syarikat milik penyanyi itu, Seri Dewi Malam Productions yang selama ini diuruskan sendiri oleh Allahyarham.-12/7/2014

Kisah ini kali pertama disiarkan oleh Berita Harian Singapura.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 447  tetamu dalam talian