22September2018

Burukkan imej Tompel, yang untungnya siapa?

Jika bapa anda digambarkan sebagai antagonis, kejam dan negatif, bagaimana rasanya? Sudah tentulah marah dan sakit hati. Inilah yang dirasakan barangkali oleh keluarga dan waris seniman AR Tompel ketika ini yang mahu Astro menghentkan penayangan biopic Saloma.

Sekurang-kurangnya ada 29 babak yang menggambarkan seniman AR Tompel itu sebagai bersifat antagonis, kejam dan negatif. Itu dakwa keluarga AR Tompel, iaitu anak-anaknya AR Badul, Adlin Aman Ramli dan yang lain lain.

Saya boleh faham kemarahan anak-anak AR Tompel. Gambaran buruk yang diberikan pada bapa mereka sudah semestinya mencalarkan nama baik keluarga dan memberikan imej yang tidak baik, bagi seorang seniman yang selama ini digemari dan diminati ramai.

Mana ada orang yang boleh duduk suka hati tonton watak bapa sendiri diberikan gambaran yang negatif. Sudah tentu anda atau pun saya akan melenting sama jika kita berada di tepat anak-anak AR Tompel, sama ada betul atau tidak itu cerita lain. Tapi yang pasti ia sudah menjadi tontonan umum.

Walaupun Adlin juga pernah menjadikan modal tentang bapanya sewaktu beliau mencuba nasib nak jadi pelawak, (biapun langsung tak lawak), tapi itu soal lain. Yang jelas, apakah perlu dibuat cerita seumpama itu untuk watak seseorang yang sudah meninggal dunia, sedangkan cerita itu belum pasti sahih betul ataupun tidak. Sejauh mana sahihnya, tuan punya tubuh pun sudah tidak ada. Sebab ini tentang keburukan, kalau kebaikan yang diwar warkan, tidak menjadi hal.

Sebab bidalan orang putih pun ada sebut, there are two sides to every coin. Siapa boleh mengesahkan betul atau tidak cerita, orang lain boleh kata A jahat tapi ada orang lain juga boleh nampak A itu baik. Dan, jangan lupa, jika orang boleh karang cerita seumpama itu tentang AR Tompel, sudah tentu ada juga orang yang menyimpan  cerita  tidak enak juga tentang P Ramlee atau Saloma. Ini hanya hanya contoh.

Maksud saya, perlukah ditelanjangkan semua keburukan A hanya untuk menampakkan kebaikkan B? Sedangkan pada saya semua mereka, seniman dan seniwati ini ada kelemahan dan kelebihan. Tapi perlukah membuka aib mereka di mata umu. Jika benar sekalipun.

Sedangkan Adlin dan waris AR Tompel mendakwa 29 babak yang dimuatkan melibat seniman AR Tompel itu adalah fitnah. Wah! Bayangkan ia jadi fitnah bermakna cerita atau fakta yang ditampilkan tidak betul. Dosa membuat fitnah, siapa nak jawab?

Kita ada ramai seniman dan seniwati berjasa dalam industri filem dan muzik. Mereka mewarnai hidup kita dan anak-anak cucu kita. Imej mereka segar dalam ingatan kita seperti AR Tompel yang sentiasa kita kenang lakonan dan jenakanya yang bersahaja dalam filem filem P Ramlee.

Seperti mana kita mahu mengingati mereka seindah lakonan mereka dalam filem-filem klasik yang masih kita tonton hari ini, begitulah juga keluarga dan waris seniman dan seniwati itu  mahu mengingati mereka dengan memori yang indah -indah. Maklumlah, mereka sudah lama tiada, yang tinggal hanya kenangan manis.

Benar kita mahu tinggalkan sejarah pada generasi akan datang dan biopic adalah satu cara untuk mereka mengenalli dan menyelami kehidupan seniman silam. Tapi sejarah yang bagaimanakah mahu kita tinggalkan untuk mereka? Perlukah dibuka aib mereka yang sudah tiada?

Dan, saya terbaca komen komen yang antaranya ada menyarankan jika keluarga Tompel tidak bersetuju dengan paparan dalam Biopic Saloma, mereka mencadangka pula dibuat biopic AR Tompel untuk buat yang serupa - bermakna akan ada watak yang dihitamkan sebagai antagonisnya. Akhirnya, apakah yang akan kita tinggalkan pada generasi akan datang - kisah seniman dan seniwati yang burukkah atau yang baikkah? Jangan lupa mereka adalah bintang yang telah dan selamanya akan menyinari hidup kita melalui sumbangan dan karya dalam filem mahupun lagu.

Apakah untungnya industri kita dengan paparan yang kononnya "kisah benar". Berapa benar? Dari sumber mana? Jika hanya dari satu sumber, ia masih boleh dipertikaikan. Soal integriti si pemberi maklumat juga perlu diambil kira. Apakah tidak mustahil ada niat buruk si pemberi maklumat, siapa tahu.

Terdetik juga di hati,  siapa yang untung dan siapa yang rugi. Sudah tentu bukan keluarga seniman dan seniwati kita kerana mereka pastinya akan bermasam muka. Sedangkan industri seni ini bukanlah besar mana. Yang pasti Seniman dan keluarga bercakaran sesama sendiri. Jika zaman dulu, yang untung pastinya tokeh tokeh panggung dan bangsawan. Tapi zaman sekarang ini yang untung masih lagi tokeh, tapi tokeh stesen televisyen. Kerana selagi berkontroversi selagi itulah ia menguntungkan mereka.-13/10/2014 OLEH SAODAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 364  tetamu dalam talian