14Disember2018

Zahid dedah ada pemegang amanah aset UMNO ‘main kotor’…

Sebagai parti yang sudah memerintah negara lebih 60 tahun lojiknya UMNO semestinya mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan memilik segala macam aset yang boleh menampung perbelanjaan mengurus sekalipun tewas dalam pilihanraya umum ke 14.
 
Hal ini yang dipersoalkan oleh perwakilan dari Kedah Noran Zamini Jamaluddin dalam perbahasannya di Perhimpunan Agung UMNO kerana beberapa hari selepas kalah sudah keluar surat dari ibupejabat UMNO terpaksa berhentikan peruntukan kepada bahagian bahagian sebab parti tidak ada duit.
 
Katanya bab akaun parti dibekukan (kerana siasatan SPRM kes 1MDB ) satu hal sebaliknya dimasa lampau dengar syarikat itu ini UMNO ada saham tetapi sekarang mana pergi semua itu dan apakah proksi proksi sudah habis lari..
 
Ia merupakan antara isu yang paling awal dijawab Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi ketika mengulong perbahasan di akhir perhimpunan di Dewan Merdeka,PWTC petang Ahad.
 
Tanpa menafikan wujudnya aset aset berkenaan,beliau memberitahu para perwakilan bahawa UMNO  telah mengarahkan Bendahari Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan semula aset berkenaan demi menjaga kepentingan dan kelangsungan parti.
 
Beliau mendedahkan, ada pemegang-pemegang amanah yang diberikan amanah untuk menjaga aset UMNO ‘main kotor’ yakni bertindak tidak mahu memulangkan semula aset tersebut dan mendakwa aset tersebut adalah milik mereka.
 
"Saya dapati ada dalam kalangan penama ini yang presiden dahulu telah letakkan kepercayaan kepadanya bagi pihak UMNO, apabila ditemui menyatakan bahawa saham atau aset itu mereka punya.
 
"UMNO  akan mengambil tindakan undang-undang untuk memperoleh balik aset itu.
 
"Trustee (pemegang amanah) ini sepatutnya memegang amanah. Kita tidak mahu orang yang tidak amanah memegang amanah bagi pihak kita," katanya.
 
Katanya aset yang diambil balik itu akan dibawa ke jawatankuasa pengurusan serta dibentangkan kepada Majlis Tertinggi secara telus.
 
Bagaimanapun, Zahid berkata aset berkenaan tidak mencecah nilai bilion ringgit seperti yang didakwa sesetengah pihak.
 
"Apabila saya melihat aset dan liabiliti daripada laporan yang diberikan rakan-rakan kita yang menjadi CEO kepada syarikat-syarikat dan pemegang saham bagi pihak UMNO ini, kita lihat harta kita tidak sebanyak itu," katanya.
 
Pada sidang media selepas itu,  Zahid berkata UMNO sedang mengesan beberapa lagi dokumen berkaitan aset itu.
 
“Kita sedang mencari dokumen-dokumen. Ada dokumen yang telah berada dalam tangan kita,” katanya.- 30/9/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 544  tetamu dalam talian