23November2017

Usahlah perdaya rakyat mengenai GST... kata PM pada Dr Mahathir

 
Satu soalan yang semua orang kena renung dan tanya apakah Pakatan Harapan yang kini dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad lebih pandai dan bijak dari 160 buah negara seluruh dunia yang sudah gunapakai sistem cukai GST.
 
Apa yang jelas ia cuma satu strategi politik saja untuk memikat pengundi hendak kembali guna sistem SST dengan dakwaan GST membebankan rakyat.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman blognya menyifatkan Analoginya menukar GST dengan SST ini samalah seperti menggantikan roda bulat dengan roda berbentuk petak zaman dahulu kala.
 
Katanya ia satu lagi U-Turn Dr Mahathir sedangkan beliau  tahu akan perkara ini dan pernah memperakui GST lebih baik daripada SST. 
 
"Hal ini kerana pentadbiran beliau sendirilah yang mengesyorkan kita menaik taraf kepada sistem GST.
"Usahlah perdayakan rakyat,"katanya.
 
BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH PERDANA MENTERI :
 
 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Akhirnya Tun Mahathir bersetuju dengan Kerajaan bahawa GST menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion.

Namun kerana beliau keterlanjuran kata menjanjikan pemansuhan GST, beliau sekarang ini mahu menggantikan GST dengan SST, sebuah sistem lapuk dan tersembunyi yang telah ditamatkan oleh 160 buah negara di dunia.

Analoginya menukar GST dengan SST ini samalah seperti menggantikan roda bulat dengan roda berbentuk petak zaman dahulu kala.

GST diperkenalkan kerana ia lebih moden, telus, mempunyai perundangan yang lengkap bagi mengelakkan penipuan dan diguna pakai oleh 160 buah negara di dunia.

GST mempunyai cara perhitungan dan piawaian yang konsisten, diiktiraf di peringkat antarabangsa.

SST yang mahu diguna pakai Tun Mahathir mempunyai masalah percukaian bertindih dan juga perhitungan berganda dalam pengiraan nilai produk serta mempunyai masalah ketirisan akibat manipulasi pemborong dan penjual.

Pengenalan sistem SST ini bukan sahaja keterbelakang, malah akan membebankan rakyat secara tersembunyi.

Tun Mahathir tahu akan perkara ini dan pernah memperakui GST lebih baik daripada SST. Hal ini kerana pentadbiran beliau sendirilah yang mengesyorkan kita menaik taraf kepada sistem GST.

Sekali lagi Tun melakukan u-turn.

Pendek kata dari segi perbandingan sistem, GST adalah sistem yang moden dan lebih sistematik daripada SST.

Namun bagi mengemis undi, Mahathir ingin menampakkan seolah-olah pembangkang akan menghapuskan GST tetapi sebaliknya akan menggantikan dengan SST di mana kadarnya tidak dimaklumkan kepada pembeli.

Bukankah ini satu pembohongan?

Di bawah sistem SST adalah tidak perlu untuk penjual maklum jumlah cukai dalam resit.

Jadi mereka boleh mengenakan cukai pada kadar yang tidak boleh dikawal penguatkuasa, dan rakyat juga tidak sedar mereka masih dicukai walaupun diberitahu GST dimansuhkan.

Tidak dengan GST di mana penjual perlu secara telus menyatakan jumlah kadarnya yakni 6 peratus.

Saya mahu pembangkang jika ikhlas mahu menghapuskan cukai barangan, jangan tipu rakyat dengan katanya kononnya akan menggantikan dengan cukai SST yang tersembunyi dan lapuk ini.

Mansuhkan sahaja cukai barangan dan nyatakan di mana mereka mahu menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion setahun.

Usahlah perdayakan rakyat.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

- 10/11/2019
 
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 651  tetamu dalam talian