16Disember2017

TPM Zahid bakar semangat sayap Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO untuk menang majoriti dua per tiga PRU14...

"UMNO tidak boleh kalah! BN tidak boleh tewas! Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan! Putrajaya akan terus menjadi milik kita. Milik UMNO dan Barisan Nasional."

"Tidak boleh tidak, kita wajib mengekalkan semua kerusi yang kita menangi dan merampas semula kerusi yang telah terlepas kepada parti pembangkang sebelum ini. Kita harus 'retain and regain'  semua kerusi yang kita sasarkan."

Suara lantang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi bergema di Dewan Merdeka,PWTC Selasa malam membakar semangat Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO mengenai pilihanraya umum ke 14 ketika merasmikan serentak tiga sayap parti itu.

Beliau menegaskan BN meletakkan meletakkan matlamat besar untuk bukan sahaja memenangi PRU14 bagi melalui Sistem First-Past-The-Post, sebaliknya memperoleh penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti yang jauh lebih besar.

 Zahid turut menekankan perlunya anggota UMNO memiliki mentaliti mahu menang dengan berbekalkan semangat keyakinan dan tindakan.

"Ketahuilah wahai bangsaku satu undi kepada Barisan Nasional bermaksud satu undi kepada pembentukan sebuah Kerajaan Persekutuan yang berwibawa dan bertanggungjawab,”katanya.

Beliau mengajak semua akur dengan keputusan Presiden UMNO,Datuk seri Najib Tun Razak siapa saja calon PRU 14 yang dipilih nanti.

Untuk mencapai kemenangan itu, katanya, kepentingan parti harus diutamakan dan mana-mana individu yang tidak dicalonkan pada PRU14 perlu berlapang dada serta tidak melakukan sesuatu yang boleh melumpuhkan gerak kerja parti.

Beliau turut menggambarkan aspek yang perlu dimilik oleh calon UMNO iaitu berwibawa dinamik dan kematangan disulami aspek 'winable' (mampu menang), 'likeable' (disukai), 'capable' (berkemampuan), 'trustable' (boleh dipercayai) dan 'intelligent' (bijak).

Jauhilah sikap buruk seperti mencari 'personal glory' (kemegahan peribadi). Kita berjuang demi parti...dan perlu melangkah sebagai satu pasukan mantap," katanya.

Beliau turut menggambarkan aspek yang perlu dimilik oleh calon UMNO iaitu berwibawa dinamik dan kematangan disulami aspek 'winable' (mampu menang), 'likeable' (disukai), 'capable' (berkemampuan), 'trustable' (boleh dipercayai) dan 'intelligent' (bijak).

 Zahid melahirkan harapan kepada ketiga-tiga sayap UMNO melakukan gerak kerja secara holistik dalam usaha BN mencapai kemenangan majoriti dua pertiga pada PRU14.

Beliau mahu sayap Wanita, dengan berbekalkan pendekatan 'hightouch' atau bersemuka, supaya turun mengetuk pintu hati rakyat dan bukan sekadar mengetuk pintu rumah.

Bagi sayap Pemuda, Zahid menyampaikan amanatnya: "Jejaklah setiap desa dan ceruk rantau. Bersemukalah dengan rakyat agar mereka dapat diperjelaskan dan tidak terus terperangkap oleh percaturan politik tempang pembangkang."

Buat pergerakan Puteri, beliau meminta mereka mendampingi akar umbi terutamanya wanita muda untuk menarik sokongan terhadap parti dan BN.

Menurutnya jentera pilihan raya UMNO perlu bergerak tanpa sebarang alasan sebaik sahaja presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak membunyikan semboyan.

"Jika saudara-saudari bertanya apakah yang perlu dibuat untuk menang besar? Dengahlah semua pemimpin sayap dan ahli parti sekalian. Inilah bekalan dan jajan untuk saudara-saudari bawa pulang. Dengarlah baik-baik apa yang hendak saya perkatakan. Jajan 3A!

"A yang pertama ialah 'action'. A yang kedua ialah 'action'. A yang ketiga ialah 'action'. Apabila Datuk Seri Presiden memberi arahan 'action'! kita segera gerakkan jentera pilihan raya tanpa sebarang alasan," katanya.

Zahid turut menggariskan tujuh manifesto bangsa yang diperjuangkan oleh UMNO dari dahulu hingga sekarang dan di masa akan datang, sekaligus menjadi formula untuk UMNO terus kekal unggul di persada politik negara serta boleh dijadikan penanda aras oleh rakyat.

"Sesungguhnya, UMNO tidak mengamalkan agenda sempit dan tidak hanya memperjuangkan nasib umat Melayu semata-mata. UMNO mengamalkan politik keterangkumandan malah UMNO adalah wadah perjuangan dan seluruh rakyat dari berbilang kaum.

Dalam bidang ekonomi pula, beliau berkata UMNO terus memperjuang kesejahteraan ekonomi negara demi faedah rakyat keseluruhannya.

Zahid turut memberitahu bahawa persekolahan digital akan diwujudkan di bawah lembayung pengangkasaan pendidikan bagi mendedahkan warga masa depan untuk memperolehi ilmu yang sesuai pada zamannya dalam menghadapi kebangkitan era digital.

Selain itu, katanya, keselamatan negara dan ketenteraman awam akan terus diperjuangkan oleh UMNO demi keharmonian seluruh masyarakat.

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri juga berkongsi usaha-usaha UMNO selama ini dalam mempertahankan Raja-Raja Melayu, agama Islam dan peranan mengangkat martabat negara di persada antarabangsa.

Mengakhiri ucapannya di hadapan 2,978 anggota perwakilan ketiga-tiga sayap UMNO itu, Zahid merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan keyakinan, kepercayaan serta sokongan padu bagi membolehkan UMNO terus berdiri gah memperjuangkan kepentingan semua kaum di negara ini.- 5/12/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 512  tetamu dalam talian