15November2018

Tiada keperluan tubuh tribunal siasat SPR...

Kerajaan tidak akan menubuhkan sebuah tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutamanya ketika menguruskan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
 
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, ia susulan peletakan jawatan lima anggota SPR termasuk Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkuatkuasa 1 Januari 2019. 
 
“Buat masa ini berdasarkan perkembangan terkini mengenai peletakan jawatan anggota-anggota SPR, maka isu berhubung penubuhan tribunal adalah tidak berbangkit lagi,” kata ahli Parlimen Batu Sapi itu.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, Selasa.
 
Menjawab soalan tambahan Poay Tiong, SPR ujar Vui Keong ketika ini sedang menjalankan proses pembaharuan di bawah Pengerusi yang baru iaitu Azhar [email protected] atau lebih dikenali sebagai Art Harun.
 
“Dengan pelantikan jawatan Pengerusi yang baru dalam SPR dan juga pemendekan anggota SPR ini yang akan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan, maka kita dapat faham bahawa SPR pada masa ini sedang menjalankan proses pembaharuan di mana satu era yang baru akan dipimpin oleh Art Harun sebagai Pengerusi yang baru.
 
“Dan saya yakin beliau akan menambahbaikan lagi proses SPR dan juga memberi idea untuk reform SPR dan menyelesaikan masalah yang lalu,” katanya.
 
Beliau kemudiannya diajukan soalan tambahan daripada ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengenai jaminan kerajaan terhadap pelantikan Art Harun yang merupakan aktivis politik samada beliau akan dapat berfungsi dengan lebih baik memandangkan dirinya mempunyai rekod sebagai aktivis kelompok politik tertentu.
 
Jelas Vui Keong, pelantikan tersebut telahpun mendapat perkenan daripada Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V.
 
“Pelantikan ini telahpun diperkenan oleh tuanku selepas nasihat daripada Perdana Menteri. Pelantikan tersebut telahpun diterima dengan baik oleh pihak kerajaan.
 
“Walaupun beliau adalah seorang aktivis, saya rasa dia akan dapat menjalankan tugasnya secara profesional untuk mereformasikan SPR kepada satu tahap yang lebih baik untuk pastikan isu terdahulu tidak akan wujud lagi,” katanya. – 23/10/2018 - Oleh AIDIL SYUKRI
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 488  tetamu dalam talian