15November2018

Suasana lain macam di Sembang Santai Najib…

Berbeza dengan masa lampau majlis Sembang Santai bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Sabtu nyata cukup bergegar.
 
Ia dapat dirasai sepanjang majlis yang berlangsung lebih dua jam itu.
 
Paling menarik majoriti lebih 1,000 hadirin yang memadati dewan berkenaan terdiri dari rakyat biasa termasuk golongan muda.
 
Hanya sebilangan kecil sahaja terdiri  orang politik yang selalunya dilihat di majlis majlis seperti ini.
 
Turut hadir adalah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Lokman Noor Adam dan Tun Faisal Ismail Aziz.

 
Pihak penganjur yang ditemui mengakui mereka sendiri teruja melihat kehadiran ramai ‘orang biasa’ yang mungkin hendak bersemuka dan dengar sendiri cerita dari Najib.
 
Majlis yang asalnya hendak diadakan di dewan restoran Riverside PWTC telah dipindahkan ke dewan berkenaan kerana kehadiran ramai dari yang dijangka.
 
Dalam majlis ala dialog townhall itu Najib telah memberi ucapan pembukaan sekejap sebelum berlangsung sesi soal jawab.
 
Kalangan hadirin telah melontar soalan sepanjang tiga pusingan soal jawab diadakan.Malah menjelang akhir ramai berebut rebut hendak bertanya kepada Najib hingga moderator Isham Jalil jenuh terpaksa memilih.
 
Dari masa ke semasa dewan gamat dengan laungan ‘kencing..kencing…kencing’ bila Najib bercakap mengenai janji janji pilihanraya yang tidak ditunai oleh kerajaan Pakatan Harapan.
 
Menjawab soalan mengenai tindak tanduk kerajaan yang membatalkan atau menangguhkan projek semasa kerajaan pimpinan beliau,Najib menegaskan beliau tidak langsung mengamalkan politik dendam.
 
Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan terus memberi dana kepada Proton yakni projek Tun Dr Mahathir Mohamad yang tenat.
 
Katanya sepatutnya Perdana Menteri yang mengambilalih terus menunjang projek projek yang dilaksana oleh Perdana Menteri sebelumnya.
 
Menurut Najib beliau juga terus membangunkan Langkawi yang dipelopori oleh Dr Mahathir.
 
 
Kepada satu soalan lain beliau tidak akan menubuhkan parti politik baru dan akan terus setia bersama UMNO dan BN.
 
Beliau berkata kekalahan BN pada PRU14 yang lalu adalah disebabkan fitnah yang dimomokkan oleh Pakatan Harapan.
 
“Darah daging saya UMNO dan BN. Kalau rendam saya dalam air, angkat 10 kali pun saya tetap UMNO dan BN.
 
“Saya tidak bercadang untuk buka parti baru. Kita kalah kerana fitnah dan janji palsu,” kata ahli Parlimen Pekan itu.
 
Menjawab soalan lain, Najib memberitahu berdasarkan pemerhatiannya pada komen-komen yang diterima di Facebook, ramai yang meluahkan rasa kesal kerana memberikan undi kepada PH Mei lalu.
 
“Komen di Facebook saya baca. Ada yang kata minta maaf sebab undi PH kerana telah dihasut oleh mereka. Hari ini lepas tahu kebenarannya mereka menyesal.
 
“Mereka tidak nampak kebaikan UMNO BN sebelum ini. Mereka fikir apa yang kita (BN) buat akan terus kekal dan PH akan tambah. Tetapi lepas 9 Mei baru mereka sedar,” katanya.
 
Menjawab soalan mengenai segelintir pemimpin yang meninggalkan UMNO, Najib menyifatkan mereka tidak tahan dengan tekanan yang diberikan oleh kerajaan PH.
 
“Saya tidak tahu nak kata dengan pemimpin UMNO yang tidak setia. Selamat tinggallah kamu.
 
“Kita akan terus berjuang dengan orang yang setia kepada UMNO. Dulu masa susah tiada peruntukan, hendak jadi calon cari siapa? Kenanglah.
 
“Mana dia nilai sayang, budi setia kawan? Saya tidak mahu sebut nama tetapi inilah prinsipnya,” ujarnya.
 
Sebilangan hadirian yang ditemui menyifatkan majlis sembang santai ini telah beri peluang mereka untuk dengar secara langsung dari bekas Perdana Menteri itu mengenai kemelut yang beliau hadapi dan pandanganya mengenai isu semasa.
 
Mereka berharap agar majlis seperti ini terus diadakan di tempat tempat lain dari masa ke semasa. –3/11/2108
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 504  tetamu dalam talian