24Jun2017

'Spy' Korea Utara diusir keluar dari Malaysia

Berbanding wajah bersihnya semasa mula ditahan dulu, suspek 'spy' Korea Utara yang direman 14 hari untuk membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un kini sudah bermisai dan berjanggut.

Suspek dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini di bawah kawalan ketat untuk diusir keluar dari Malaysia.

Ri Jong Chol, 47, direman sejak 18 Februari berhubung pembunuhan Jong Nam, dibawa keluar dengan memakai pakaian kalis peluru dan meninggalkan IPD Sepang pada 8.50 pagi ini.

Lelaki berkenaan dibawa keluar dengan konvoi enam kenderaan selepas tempoh remannya berakhir hari ini.

Dia ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 17 Februari lepas berhubung kes pembunuhan Jong Nam di klia2 oleh 2 wanita asing pada 13 Februari lepas.

Lebih 50 wakil media tempatan dan antarabangsa berkampung di depan pintu masuk IPD Sepang seawal 5 pagi selepas berita mengenai pembebasan dan pengusiran Jong Chol dilaporkan.

Laluan di depan IPD Sepang itu disekat kepada lalu lintas kira-kira 10 minit sebelum konvoi yang membawa Jong Chol keluar.

Peningkatan kehadiran pengamal media menyaksikan anggota polis mula membentuk barisan di depan pintu pagar premis itu pada 8 pagi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini selain melancarkan aliran trafik.

Beliau dibawa ke Jabatan Imigresen untuk proses pengambilan cap jari serta mendapatkan Memo Periksa Keluar (COM) bagi tujuan pengusiran.

Suspek dilihat memakai jaket kalis peluru ketika di bawa memasuki kereta peronda.

Sumber berkata, mana-mana individu yang diusir keluar dari negara ini perlu mengemukakan beberapa dokumen seperti salinan tiket kapal terbang, feri atau bas serta pasport asal dan salinan muka depan pasport.

Selain itu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Imigresen turut meminta orang yang diusir hadir sendiri tanpa menggunakan wakil bagi membuat semua urusan berkenaan.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata Jong Chol akan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asalnya berikutan kekurangan bukti untuk mendakwanya.

Difahamkan lelaki Korea Utara itu akan melalui proses dokumentasi oleh Jabatan Imigresen di Putrajaya sebelum diusir keluar ke negara asal hari ini.

Dalam kejadian itu, Jong Nam berada di klia2 bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri 2 wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.

Jong Nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam pada Rabu lepas dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh Jong-nam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.-3/3/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 699  tetamu dalam talian