16Disember2017

Siasatan polis keatas kerugian forex Bank Negara dijangka ambil masa lama…

Skandal kerugian urus niaga tukaran asing Bank Negara Malaysia yang berlaku di zaman pentabiran Tun Dr Mahathir Mohamad bukan kecik anak. Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenainya anggar RM31.5bilion hangus antara 1992  hingga 1994.

Mereka yang akan disiasat kerana RCI itu dapati ada asas untuk mencadangkan polis menjalankan siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah atau penipuan dalam isu kerugian itu juga bukan kecik anak.

Antaranya ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim selain bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang merupakan ‘pemain utama’ dalam urus niaga itu.

Banyak soalan yang perlu jawapan termasuk mengapa jumlah kerugian yang dibentangkan oleh kerajaan kepada Parlimen waktu itu adalah jauh kurang dari kerugian sebenar.

Ini belum masuk pelbagai butiran lain yang disentuh dalam laporan RCI setebal 400 halaman.

Maka tugas polis untuk siasatan kes berprofail tinggi ini ekoran laporan polis dibuat oleh Setiausaha RCI Datuk Dr Yusof Ismail juga bukan kecik anak.

Apa yang pasti kita tidak mungkin dapat hasil siasatan ini dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur Ahad siasatan polis berhubung kes itu dijangka mengambil masa yang lama.

Beliau berkata ini kerana pihaknya perlu meneliti laporan dan mengenal pasti saksi yang akan dipanggil berhubung kes itu.

"Siasatan tiada jangka masa, kalau saksi ramai kita (polis) perlukan masa panjang dan kalau saksi yang akan dipanggil tidak begitu ramai, siasatan akan selesai awal," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah, dan orang awam diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut kerana siasatan masih berjalan, katanya.

"Jangan buat kesimpulan kerana ia tidak adil, polis akan buat siasatan seadilnya dan kita tahu apa yang perlu dibuat," katanya.

Jumaat lepas, Fuzi berkata pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga forex BNM pada sekitar 1990-an.

Pasukan diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh itu, ditubuhkan selepas laporan polis berhubung perkara berkenaan diterima.

Dr Yusof membuat laporan polis pada 30 November berdasarkan syor dan rumusan RCI mengenai kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan dalam skandal berkenaan.

Beliau berkata laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan rasmi ke atas kesalahan pecah amanah, jenayah dan penipuan serta lain-lain kesalahan yang mungkin dilakukan oleh pihak dinyatakan dalam laporan suruhanjaya itu.- 3/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 513  tetamu dalam talian