20September2018

PM umum macam-macam berita gembira untuk penjawat awam

Menyifatkan penjawat awam di Malaysia sebagai 'kawan yang setia' Perdana Menteri pada Rabu mengumumkan berbagai berita gembira untuk 1.6 juta kakitangan kerajaan seluruh negara.

Pengumuman yang paling menarik perhatian adalah kenaikan satu gaji tahunan untuk semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai.

Mengumumkan berita gembira itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 anggota perkhidmatan awam, Najib yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan beberapa insentif untuk penjawat awam dan golongan pesara.

Beliau berkata pemberian kenaikan gaji itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah para penjawat awam sebagai kawan setia kerajaan dan kenaikan ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

"Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018," katanya yang disambut sorakan dan tepukan gemuruh penjawat awam sambil berdiri sebagai tanda penghargaan.

Selain itu beliau turut mengumumkan:-

2- Pemendekan tempoh time-based kali kedua kepada kumpulan pelaksana daripada 13 tahun kepada 10 tahun mulai 1 Januari 2018.

3- Mewujudkan lapisan Gred 56 bagi skim pegawai perkhidmatan pendidikan (berkuatkuasa 1 Januari 2019).

4- Pemanjangan kemudahan perubatan kepada ibu bapa bagi pegawai lantikan kontrak warganegara (berkuatkuasa 1 Julai 2018).

5- Dana tahunan kepada Cuepacs RM3 juta setahun.

6- Kemudahan cuti tanpa rekod keagamaan kepada penjawat awam bukan islam maksimum 7 hari (berkuatkuasa Januari 2018).

7- 1% Kenaikan kadar pencen tahunan secara one off untuk tahun 2018 sebagai tambahan kepada 2% yang diterima pesara pada 1 Januari 2018.

8- Pemberian Geran Khas RM1 juta kepada Persatuan Pesara bagi tahun 2018

9.- Menetapkan kuota haji untuk persatuan pesara kerajaan.

Berselorah ketika mengulas memberikan kenaikan satu peratus kadar pencen secara ‘one-off’ bermula 1 Julai sehingga 31 Disember ini.

Najib berkata, pemberian itu sebagai tambahan sebanyak dua peratus yang diterima sebelum ini.

“Manfaat ini akan diterima oleh semua pesara termasuk pesara yang berumur 93 tahun itu juga akan menerima juga,” katanya disambut gelak ketawa orang ramai.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

MAPPA merupakan acara tahunan di mana perdana menteri akan menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.-4/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 430  tetamu dalam talian