15November2018

Pimpinan UMNO ikrar sokongan dan setiakawan pada Zahid dalam saat mencabar...

UMNO mesti menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan cara yang selari dan bersesuaian dengan keluhuran undang-undang dan sifat Malaysia sebagai negara hokum.
 
Ini kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Selasa sebagai mengulas perkembangan isu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dipanggil lagi beri keterangan kepada SPRM dan desas desus beliau mungkin didakwa.
 
Menerusi satu kenyataan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menegaskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mengadakan mesyuarat segera untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam.
 
“Khususnya bagi memutuskan hala tuju dan tindakan selanjutnya. Apa jua keputusan MKT akan menjadi pendirian dan panduan untuk semua ahli parti.
 
“Yang pasti, saya dan kepimpinan UMNO memberi jaminan bahawa penahanan ini tidak akan melemahkan atau menjadi halangan kepada UMNO untuk meneruskan agenda pemulihan (reform) yang sedang dilakukan di dalam parti.”
 
Dalam pada itu Mohamad Hasan meminta ahli UMNO dan semua pihak agar bertenang dan mengambil pendekatan rasional dalam berhadapan dengan perkembangan dihadapi Zahid.
 
“Saya pasti ahli UMNO dan seluruh rakyat Malaysia mengikut rapat perkembangan berkaitan penahanan Datuk Seri Zahid Hamidi oleh SPRM.
 
“Saya menyeru agar kita tidak terburu-buru dalam segala kenyataan, tindakan dan perlakuan kita. Kita mesti menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan cara yang selari dan bersesuaian dengan keluhuran undang-undang dan sifat Malaysia sebagai negara hukum,” katanya.
 
Beliau berkata, susulan beberapa siri siasatan, wujud spekulasi bahawa Zahid akan didakwa tidak lama lagi.
 
“Sejauh manakah kebenaran dan kesahihan spekulasi tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dipastikan pada saat ini.
 
“Saya dan kepimpinan UMNO percaya perkara ini mesti dilihat secara terbuka dan objektif. Ia tidak seharusnya dispekulasi dan dijadikan modal untuk menabur pelbagai persepsi yang salah dan tidak berasas.
 
“Apa yang lebih penting, ahli UMNO dan semua pihak mesti bertenang dan mengambil pendekatan rasional dalam berhadapan dengan semua ini,” ujarnya.
 
Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan  khidmat bakti UMNO kepada rakyat Malaysia juga tidak akan berhenti dan terganggu.
 
“Saya dan rakan-rakan dalam UMNO ingin menzahirkan sokongan dan setia kawan yang mendalam terhadap Datuk Seri Zahid Hamidi dan keluarganya dalam saat yang mencabar seperti sekarang.
 
“Insya-Allah, saya pasti akan hadir petunjuk dan kebenaran yang selayaknya dari Allah SWT dalam segala hal yang berlaku ini jika kita bersabar dan bijaksana dalam segala tindakan kita,” katanya lagi- 18/10/2018
 
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 801  tetamu dalam talian