23Oktober2017

Perbicaraan kes bunuh di KLIA2 bermula...

Kes  pembunuhan ala cerita perisikan Hollywood dan dilakukan di lapangan terbang antarabangsa yang menggemparkan warga dunia bermula pagi ini.

Sudah tentu banyak pihak yang berminat untuk melaporkan berita ini berkampung sejak awal pagi di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Apa yang menariknya, kejadian tersebut berlaku di Malaysia tapi melibatkan semua warga asing termasuk dua wanita yang dituduh membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Tertuduh, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang tiba dengan memakai baju-T berwarna hitam serta berseluar gelap termasuk vest hitam polis, akan dibicarakan bermula hari ini.

Kawalan keselamatan di Kompleks Mahkamah Shah Alam diperketatkan dengan hanya kenderaan orang awam yang mempunyai pelekat khas mahkamah dibenarkan masuk.

Pada masa sama, kira-kira 100 petugas media termasuk media asing mula memenuhi kawasan luar Kompleks Mahkamah Shah Alam seawal jam 5 pagi. Bagaimanapun, hanya 20 wakil media tempatan dan antarabangsa diberi kebenaran memasuki kamar mahkamah untuk membuat liputan prosiding.

Pada 28 Julai lalu, Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan perbicaraan akan berlangsung selama 23 hari bermula hari ini.

Dalam prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan ia akan direkodkan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan pihaknya akan memanggil seramai 30 hingga 40 saksi termasuk 10 saksi pakar bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Pada 1 Mac lalu, kedua-dua tertuduh bersama-sama empat individu lain yang masih bebas didakwa membunuh Jong-nam di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang jam 9 pagi pada 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.-02/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 739  tetamu dalam talian