10Disember2018

Pemuda UMNO desak ambil tindakan tegas bekas pemimpin tinggalkan parti

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak pucuk pimpinan parti supaya mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemimpinnya yang bertindak meninggalkan parti selepas kekalahan di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
 
Menurut ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tindakan tegas itu termasuklah mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin-pemimpin berkenaan.
 
Katanya saat ini adalah masa yang terbaik untuk ahli-ahli parti keramat orang Melayu itu menilai siapakah pemimpin yang benar-benar setia kepada perjuangan UMNO.
 
“Hakikatnya yang bersalah bukan UMNO. Mana mungkin parti yang memerdekakan negara ini begitu buruk sekali takdirnya. Mana mungkin parti yang telah mengangkat martabat Islam begitu hodoh sekali rupanya. Yang perlu dipersalahkan adalah para pendokong dan pemegang amanah perjuangan UMNO yang telah mengkhianati dan menanggalkan idealisme perjuangan serta meleburkan pedoman Islam.
 
“Justeru, ini adalah waktu terbaik untuk kita melihat siapakah pemimpin yang benar-benar setia kepada perjuangan ini? Setia kepada perjuangan bukan hanya di waktu berkuasa. Setia kepada perjuangan bukan hanya di saat  dilimpahi kesenangan. Tetapi setia yang sejati adalah di saat UMNO sedang diuji dengan pelbagai mehnah dan dugaan.
 
“Bukan seperti segelintir pimpinan yang telah meninggalkan kita di kala UMNO dilanda badai. Kononnya lompat kerana prinsip perjuangan, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang…kami tahu sebab-sebabnya….! Ingatlah UMNO yang kalian sisihkan inilah, yang pernah menatang anda di waktu senang, mendokong anda hingga ke puncak. Ingatlah jerit perih wanita yang setia memerah keringat turun naik dari rumah ke rumah, puteri-puteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah hanya untuk memenangkan kalian
 
“Pemuda dengan ini mendesak pucuk pimpinan agar mengambil tindakan tegas buat petualang-petualang ini termasuklah tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti sebelum ini, akhirnya sanggup curang kepada akar umbi,” katanya.
 
Beliau berkata demikian di dalam ucapannya pada Persidangan sayap Pemuda UMNO Malaysia di PWTC, Sabtu.
 
Menurutnya lagi, Pemuda tidak akan sesekali melupakan parti yang banyak jasanya kepada negara.
 
Malah tegas beliau, pergerakan tersebut akan terus setia bersama perjuangan parti keramat itu.
 
“Bahkan jika satu ketika kita hilang kemudi hatta nakhoda sekalipun, kami Pemuda UMNO tidak akan undur walau selangkah meninggalkan wadah.
 
“Sekalipun jika di waktu itu semua beralih arah meninggalkan UMNO dan kalian terpandang di belakang, hanya seorang sahaja yang tinggal memegang panji UMNO, maka dialah Pemuda UMNO,” katanya disambut dengan sorakan perwakilan.
 
Menurutnya lagi, Pemuda UMNO menerima kekalahan pada PRU14 yang lalu dengan penuh insaf dan sedar ianya adalah takdir daripada Allah.
 
“Kita menerima kekalahan ini dengan penuh sedar dan insaf,  sebagai takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Inilah hukuman rakyat kepada kita.
 
“Dahulu, mereka mendokong dan mengangkat kita tetapi kerana sikap kealpaan kita, mereka menolak dan hilang keyakinan terhadap kita, lantas dengan mudah rakyat memberikan undi mereka kepada lawan kita.
 
“Terimalah kekalahan ini. Terimalah kekalahan dengan hati yang terbuka. Percayalah, kekalahan ini bukan kerana musuh kita kuat dan hebat. Tetapi kekalahan ini berlaku kerana kesilapan dan salahlaku kita sendiri.
 
“Kita tewas lantaran tingkah kita yang bertentangan dengan norma hukum dan bercanggah dengan budaya bangsa kita. Maka Allah SWT menghukum kita dengan balasan kekalahan yang amat perit sekali.
 
“Kerana pangkat dan kuasa, kita berantakan sesama sendiri. Kerana mengejar harta dan khazanah, kita sanggup mencantas sesama ahli. Akhirnya kita tergelincir hingga perjuangan Melayu dan Islam sanggup kita perjudi dan khianati,” katanya.
 
Namun begitu beliau menyeru seluruh ahli parti itu supaya tidak terus dirundung dengan kehampaan dan kekecewaan.
 
Sebaliknya tegas Asyraf, UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu hakikatnya masih mampu untuk bangkit kembali.
 
“Ini bukan omongan kosong. Kita bukannya “Membakar Air Hendakkan Abu”. Inilah yang selalu saya tekankan pada setiap kali turun ke lapangan sejak 3 bulan lalu, bagaimana pengajaran tragedi Uhud yang merakamkan peristiwa kekalahan tentera Islam, lantaran ingkar perintah Nabi SAW pada awalnya, namun dijanjikan Allah untuk kembali bangkit memperoleh kemenangan.
 
“Inilah harapan. Inilah prasyarat kebangkitan. Syarat utama untuk UMNO bangkit kembali daripada kekalahan, adalah untuk kita Pemuda kembali kepada akar keimanan dan tunjang agama,” katanya. – 29/9/2018- Oleh AIDIL SYUKRI
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 371  tetamu dalam talian