19Oktober2018

Peluang BN rampas parlimen Sepang cerah

UMNO Sepang yakin Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas semula kerusi parlimen itu dan dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.

Ketua UMNO Bahagian Sepang Datuk Marsum Paing (gambar) berkata sentimen masyarakat setempat menunjukkan sokongan telah beralih kepada BN susulan pelbagai program turun padang yang dilaksanakan parti sejak tahun 2016 lagi.

Selain itu, katanya pertandingan tiga penjuru yang dijangka berlaku di parlimen Sepang serta DUN Tanjong Sepat, Sungai Pelek dan Dengkil pada PRU14 nanti dilihat bakal memberi kelebihan kepada BN.

"Dalam kita mengadakan kursus dan latihan untuk jentera pilihan raya, kita tidak melihat kepada pertandingan tiga penjuru, sebaliknya kita fokus kepada pertandingan satu lawan satu.

"Tetapi apabila berlaku perpecahan dalam kalangan mereka (pembangkang) dan mereka membuat gabungan tidak termasuk PAS, maknanya kita akan berhadapan persaingan tiga penjuru. Kalau satu lawan satu kita rasa boleh menang, apatah lagi tiga penjuru," katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Pada PRU13, calon PAS Mohamed Hanipa Maidin (kini bersama Parti Amanah Negara) yang memperoleh 36,774 undi, menang kerusi Parlimen Sepang dengan majoriti 1,104 undi ke atas calon BN Datuk Seri Mohd Zin Mohamed yang mendapat 35,670 undi.

Bagi DUN Tanjong Sepat, calon BN Nisman Yusof tewas kepada calon PAS Mohd Haslin Hassan yang menang dengan majoriti 682 undi, manakala di DUN Sungai Pelek calon DAP Lai Nyuk Lan menang dengan majoriti 1,972 undi ke atas calon BN Ng Chok Sin.

BN hanya berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Dengkil melalui Shahrum Mohd Sharif yang menang dengan majoriti 2,317 undi ke atas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Borhan Aman Shah.

Bagi PRU14, Marsum berkata Parlimen Sepang dibahagikan kepada 51 pusat daerah mengundi (PDM) dengan 37 daripadanya diterajui UMNO dan selebihnya parti komponen BN yang lain.

Katanya UMNO peringkat negeri telah menggerakkan jentera di setiap bahagian termasuk Sepang sejak tahun 2016 lagi melalui pelbagai kursus, latihan dan simulasi bagi memastikan setiap gerak kerja menjelang PRU14 berjalan lancar.

"Mutakhir ini kita juga telah membuat kajian semula terhadap PDM yang agak lemah di mana kita telah pun membuat pelan B untuk menambaik baik persiapan pilihan raya di PDM terbabit," katanya.

Marsum berkata Biro Teknologi Maklumat (IT) bahagian turut digerakkan bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu yang sering dibangkitkan parti lawan untuk mengelirukan rakyat.

Ditanya mengenai harapannya terhadap pengundi Sepang , beliau berkata mereka diharap memberi peluang kepada calon BN untuk kembali berkhidmat di kawasan itu dan menilai rekod anggota parlimen kawasan itu sejak lima tahun lepas.

"Kalau kita lihat rekod lima tahun yang akhir ini, wakil rakyat Sepang ini amat sukar untuk ditemui, untuk mengadu hal apa sahaja diperlukan.

"Sebaliknya, kita (BN) akan memberikan perkhidmatan secara terus, berjumpa rakyat dan apa sahaja rakyat ingin bantuan boleh jumpa dengan pimpinan yang akan dipilih nanti," kata Marsum.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRU14 pada 9 Mei; penamaan calon pada 28 April manakala pengundian awal pada 5 Mei.-19/4/2018 -BERNAMA

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 666  tetamu dalam talian