26Jun2017

PAS Perak bertanding lebih daripada 30 kerusi DUN PRU14

PAS Perak menjangka bertanding lebih daripada 30 kerusi DUN di seluruh negeri pada PRU14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat parti dengan memfokuskan kepada kerusi DUN yang mempunyai bilangan majoriti pengundi berbangsa Melayu.

"Di Perak ada 59 kerusi DUN yang mana kalau kita nak memerintah sekurang-kurangnya perlu tandingi 30 kerusi atau lebih.

"Kita takkan bertanding di bawah jumlah itu kerana kita nak memerintah dan fokus kita lebih kepada kerusi DUN yang mempunyai lebih 60 peratus pengundi Melayu," katanya kepada pemberita selepas Iftar Perdana PAS Perak di Ipoh pada Khamis.

Beliau berkata walaupun tindakan itu akan memungkinkan berlaku pertandingan tiga penjuru di beberapa kerusi DUN yang ditandingi, namun ia bukan satu halangan untuk PAS melakar kejutan.

Razman berkata dengan sokongan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan 150 badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membentuk Gagasan Sejahtera, pihaknya percaya parti mampu menambah kekuatan untuk menghadapi PRU14 khususnya di Perak.

"Kita tak kisah, datang tiga, empat atau lima penjuru pun kita akan tetap bertanding dan kita telah buktikan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar serta Sungai Besar yang berlangsung tidak lama dulu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perak, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, PAS akan terus komited dengan perjuangan yang dibawa bersama Gagasan Sejahtera selain optimis tidak akan membentuk kerjasama politik bersama Pakatan Harapan.

Katanya perkara itu jelas memandangkan kebanyakan daripada pemimpin yang berada dalam Pakatan Harapan pada ketika ini merupakan antara individu yang pernah mengkhianati perjuangan PAS.

"Mana mungkin kita nak bekerjasama dengan mereka dan kalau kita lihat rata-rata daripada pimpinan mereka merupakan antara individu yang banyak melontarkan fitnah kepada PAS," katanya.-16/6/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 740  tetamu dalam talian