15November2018

Orang kuat Dr Mahathir cadang Anwar pujuknya kekal PM sampai habis penggal...

Bekas ‘Mursyidul Am’ TIBAI, Zahid Md. Arip yang kini Setiausaha Politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dikenali seorang yang vokal dari dulu sampai sekarang.Namun silap haribulan cakap beliau ini boleh bikin PKR dan orang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak senang duduk.
 
Sekalipun mengakui ia boleh mengundang salah faham, Zahid menjelaskan ini semata mata pandangan peribadinya.
 
Bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Kota Bharu, di Kota Bharu Sabtu beliau melontar saranan agar Anwar memujuk Dr Mahathir terus pegang jawatan sehingga habis penggal iaitu selama lima tahun, bukan dua tahun sebagaimana dijanjikan sebelum ini.
 
Zahid menilai langkah itu wajar kerana usaha menyusun dan memulihkan pentadbiran negara yang sedang dilakukan Dr. Mahathir ketika ini rumit dan tidak boleh disempurnakan dalam tempoh dua tahun.
 
Apapun beliau yakin Dr Mahathir akan kotakan janji serah jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
 
"Saya fikir kalau Tun Dr. Mahathir masih sihat dan mampu, bagi peluang beliau selesaikan hal pentadbiran negara dalam tempoh satu penggal, iaitu kira-kira lima tahun. Nak pulih negara bukan boleh setahun dua. Biarlah beliau lengkapkan dulu.
 
"Datuk Seri Anwar sendiri pun ada sebut dua tiga kali, nak pulih (negara) ini bukan senang, nasib baik aku tak jadi Perdana Menteri. Saya penuh yakin dan percaya beliau cukup matang dan amat sabar, patut tidak ada masalah untuk beliau tunggu (lebih lama).
 
"Memang Tun dah berkali-kali sebut beliau sudah berjanji dan akan tunaikan janji. Tetapi, jika Anwar boleh pujuk, Tun, anda habiskan sahaja sepenggal, patut no problem, yang penting tidak ada yang jadi batu api," katanya.- 27/10/2018
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 504  tetamu dalam talian