16Oktober2018

Nama Saiful bergema lagi... bertanding lawan Anwar di PD

Namanya pernah mengegarkan Malaysia kira-kira 10 tahun yang lalu selepas membuat laporan polis mendakwa diliwat majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mulai Sabtu dan hari-hari seterusnya sepanjang 14 hari  kempen, nama Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan bergema lagi selepas membuat kejutan untuk bertanding pilihanraya kecil  (PRK) Parlimen Port Dickson.

Menurut Saiful  beliau akan menghantar borang pencalonan di pusat penamaan di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu..

"Setakat ini saya sahkan saya sudah bayar deposit untuk bertanding. Terpulang pada hari esok sama ada pencalonan saya diterima atau tidak,"

“Saya bertanding sebagai calon Bebas tanpa disokong mana-mana parti. Saya bertanding bukan kerana kisah lama dengan Anwar tetapi sebab lain.

“Saya sudah berfikir panjang dan ia langkah yang betul,” katanya kepada media Jumaat malam.

Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan hukuman penjara Anwar oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Saiful pada 2015.

Bagaimanapun Anwar diberikan pengampunan penuh selepas Pakatan Harapan menang PRU14 baru-baru ini.

Saiful menegaskan, beliau tidak ditaja oleh mana-mana pihak untuk bertanding.

"Demi Allah tidak ada sesiapa di belakang saya dan saya bukan ditaja. Saya akan mengulas lanjut tentang keputusan bertanding dalam sidang akhbar selepas penamaan calon," katanya.

Untuk rekod, Saiful pernah bersumpah dengan Al-Quran di Masjid Negara bahawa beliau diliwat Anwar.

Difahamkan selain Anwar dan Saiful ada enam lagi individu yang sudah membayar wang deposit termasuk calon PAS dan bekas Ketua Bahagian UMNO Teluk Kemang dan ADUN Bagan Pinang Tan Sri Isa Samad.

Parlimen Port Dickson merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar yang juga Perdana Menteri menunggu.-28/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 408  tetamu dalam talian