15November2018

Najib yakin dapat jelaskan isu RM2.6 billion di mahkamah…

Gara gara Datuk Seri Najib Tun Razak jawab tidak mengesahkan sumber mana dana RM2.6 bilion dari keluarga diraja Arab Saudi yang disalurkan kepadanya semasa interbiu dengan Aljazeera baru baru ini…timbul pelbagai dakwaan termasuk beliau berbohong mengenainya.
 
Pada Selasa bekas Perdana Menteri itu tampil menerusi facebook live selama 12 minit untuk menjelaskan mengenai jawapan yang mencetuskan keraguan ramai pihak mengenai isu derma itu.
 
Sambil menegaskan beliau tidak mencuri wang 1MDB,Najib kata bahawa jawapan tersebut telah diputar belit pihak tertentu untuk memberi maksud berlainan daripada apa yang ingin disampaikanya.
 
Katanya beliau tidak memeriksa hal berkenaan kerana pada waktu itu kerana pihak Bank Negara,bank penerima dana itu serta para pegawainya tidak langsung ada isyarat atau teguran ada yang tidak betul.
 
Najib menjelaskan hubungan beliau dengan Almarhum Raja Abdullah sangat akrab sejak 2009.
 
Katanya baginda sendiri yang menawarkan bantuan berkenaan yang kemudian diuruskan oleh dua putera dari keluarga di raja Arab Saudi.
 
Menurut Najib semua surat menyurat mengenai ada dan saluran dana pertama datang dari Kementerian Kewangan Arab Saudi.
 
Jelas Najib, semua dana 1MDB adalah daripada sumber pinjaman dan tidak mungkin beliau akan mencuri wang yang perlu dibayar balik.
 
"Apatah lagi dimasukkan ke dalam akaun peribadi yang diketahui puluhan pegawai. Tidak mungkin perkara ini boleh disembunyi atau dielak daripada dikesan oleh pihak berkuasa," ujar beliau.
 
Walau bagaimanapun, Najib mengaku sesungguhnya bukan mudah untuk beliau menjelaskan perkara itu memandangkan dirinya telah pun didakwa di mahkamah.
 
Namun begitu, beliau percaya bahawa pihaknya mempunyai butir-butir dan saksi lengkap yang akan memperjelaskan perkara itu apabila tiba masanya.
 
"Saya berdoa agar kebenaran akan timbul dan Insya-ALLAH saya dapat membersihkan nama saya.
 
"Tidak ada sesiapa yang tidak akan tersinggung apabila dilempar dengan pelbagai tohmahan. Saya ingin nyatakan dengan tegas bahawa saya bukan seorang pencuri, perompak, mahu pun penyangak," ujarnya. – 6/11/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 465  tetamu dalam talian