14Disember2018

Najib nafi arah pancing Ahli Parlimen PH bergabung dengan UMNO-PAS pada malam 9 Mei...


Datuk Seri Najib Tun Razak kata beliau tidak ada sebarang kaitan dengan apa yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad cubaan untuk pancing Ahli Parlimen Pakatan Harapan menyertai gabungan UMNO-PAS sejurus BN tewas pada pilihanraya umum ke 14 pada 9 Mei lalu.
 
Bekas Perdana Menterui itu kata tidak tahu kalau ada pihak lain buat pada malam 9 Mei tetapi beliau sendiri tidak keluarkan sebarang arahan seumpama itu.
 
"Tiada arahan yang dibuat daripada UMNO untuk pancing wakil rakyat PH.Tiada  daripada saya pada malam itu. Kalau ada daripada pihak lain, saya tak tahu," katanya.
 
Beliau ditemui wartawan di lobi Parlimen Rabu untuk ulas dakwaan Dr Mahathir dalam interbiu dengan Mekong Review bulan lalu mengenai cubaan berkenaan bagi membentuk kerajaan Melayu-Muslim selepas PRU14 .
 
Dakwanya ini kerana ada ketakutan bahawa gabungan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan menghormati kedudukan Islam seperti kerajaan sebelumnya.
 
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang ditemui enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Dr Mahathir itu.
 
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun berkata, isu itu perlu dirujuk terus kepada Dr Mahathir.
 
"Tanya beliau (Dr Mahathir)," katanya ringkas berulang kali kepada pemberita di lobi Parlimen.
 
Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin pula berkata beliau tidak tahu tentang dakwaan yang disebut Dr Mahathir.
 
"Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan Perdana Menteri. Saya bersama Najib pada malam itu selepas keputusan parlimen Rembau diumumkan. Saya ada di kediaman Najib.
 
"Tiada usaha langsung daripada Najib, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Tengku Adnan Tengku Mansor dan saya (yang berada di kediaman Najib) untuk beli anggota parlimen (untuk sertai kami)," katanya.- 21/11/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 716  tetamu dalam talian