16Oktober2018

Najib kecewa 20,000 hilang kerja dengan penamatan Gamuda-MMC sebagai kontraktor MRT2

Saya amat kecewa dengan keputusan Lim Guan Eng untuk membatalkan pakej projek MRT2 yang dianugerahkan kepada gabungan Gamuda dan MMC Corp (Gamuda-MMC) di mana 20,000 pekerja dan 600 lagi syarikat tempatan akan hilang punca pendapatan begitu sahaja.
 
Pakej ini yang sudah siap pada tahap 40% telah dianugerahkan kepada mereka secara tender terbuka antarabangsa pada tahun 2016.
 
Selain Gamuda-MMC, empat lagi syarikat telah disenarai pendek untuk tender ini, iaitu China Railway Group (CREC) dan China Communications Construction Co (CCCC) dari China, Taisei Corp dari Jepun, dan Hyundai Engineering dari Korea Selatan.
 
Akhirnya Gamuda-MMC menang dengan bidaan yang terbaik dari segi teknikal dan dengan harga yang paling rendah.
 
Tidak banyak syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran dalam kerja membina terowong bawah tanah dan memiliki kelengkapan seperti Tunnel Boring Machine (TBM) dengan harga yang sangat mahal.
 
Keperluan adalah amat tinggi bagi pakar kejuruteraan dalam mengendali kerja-kerja menggali terowong di Lembah Klang yang padat penduduknya.
 
Jika kos dikurangkan dan spesifikasi dicantas, akan wujud risiko dan kesan bahaya. Siapa akan bertanggungjawab jika berlaku bencana nanti?
 
Gamuda-MMC merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia memilik kepakaran dan telah terbukti melalui projek terowong SMART dan MRT 1 di mana projek MRT1 ini telah disempurnakan di bawah bajet dan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan.
 
Jika ditender semula, kemungkinan besar ialah syarikat luar negara akan memenangi projek ini. Mereka mungkin membawa masuk lebih banyak pekerja asing berbanding dengan Gamuda-MMC yang banyak menggunakan tenaga kerja anak tempatan.
 
Pembukaan MRT2 yang dinanti-nantikan ini juga akan dilewatkan kerana proses tender semula bukan proses yang boleh selesai dengan cepat.
 
Pemegang Saham terbesar Gamuda ialah KWSP, dikuti oleh PNB (ASN/ASB), KWAP dan Tabung Haji.
 
PNB, KWSP, Tabung Haji, KWAP dan MMC pula adalah pemegang-pemegang saham antara yang terbesar dalam MMC Corp.
 
Saya dapati harga saham MMC jatuh 16% hari ini manakala harga saham Gamuda susut 25% pada hari ini sahaja. Harga saham Gamuda sudah jatuh lebih dari 50% berbanding dengan paras harganya sebelum PRU14.
 
Saya pasti ramai rakyat Malaysia akan sedih dengan keadaan ini di mana simpanan mereka di dalam KWSP, ASN, ASB, Tabung Haji dan sebagainya akan kehilangan berbilion-bilion Ringgit manakala berpuluh ribu rakyat sendiri kehilangan punca pendapatan.
 
Nampaknya janji PH sebelum PRU14 untuk mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan dengan gaji minima RM2,500 sebulan untuk rakyat Malaysia telah salah ditulis. Mungkin, maksud mereka sebenar ialah mahu memusnahkan 1 juta pekerjaan? 

Datuk Seri Najib Tun Razak
Facebook 8/10/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 668  tetamu dalam talian