16Disember2017

Najib, Jokowi berunding isu sempadan laut di Kuching

Malaysia dan Indonesia dijangka mencapai kesepakatan dalam menyelesaikan isu pertindihan 19 titik sempadan laut dan darat antara kedua-dua bersahabat baik ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dijangka membincangkan perkara itu dalam pertemuan mereka sempena Mesyuarat Perundingan Tahunan Malaysia - Indonesia 2017 yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Rabu ini.

Ia sekali gus membantu usaha pengukuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang turut merangkumi aktiviti perdagangan dan pelaburan rentas sempadan Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Drs Jahar Gultom, berkata isu sempadan kedua-dua negara itu turut memberi tumpuan kepada usaha pemerkasaan perdagangan darat rentas sempadan memperkasakan perdagangan darat rentas sempadan Sarawak - Kalimantan.

Beliau menjelaskan usaha itu seiring dengan potensi Kepulauan Borneo yang semakin berkembang sebagai wilayah pertumbuhan ekonomi terpenting di peringkat serantau, membabitkan penyertaan aktif Malaysia dan Indonesia.

"Presiden Jokowi memberi penekanan pembangunan berkonsepkan 'Dawacita' iaitu pembangunan dari luar bandar ke pusat bandar. Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau telah banyak membangunkan kemudahan di kawasan persempadanan.

"Beliau mempunyai latar belakang seorang peniaga, jadi beliau faham apa keperluan perniagaan yang perlu ditambah baik termasuk mempermudahkan untuk melakukan perniagaan di Indonesia," katanya.

Justeru, dasar berkaitan perdagangan kedua-dua negara seperti Perjanjian Rentas Sempadan (BCA) dan Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) perlu diperbaharui bagi membolehkan aktiviti perniagaan dan perdagangan dilaksanakan lebih teratur.

"Contohnya, BTA dimeterai pada 1970. Jadi, sudah tiba masanya perjanjian ini disemak semula dan diperbaharui. Sempadan seperti Tebedu - Entikong membabitkan perdagangan antarabangsa, jadi dasar baharu perlu kerana sebarang aktiviti perniagaan seharusnya mempunyai syarat dan peraturan jelas termasuk perkara berkaitan percukaian, kastam, dan fasiliti untuk pemeriksaan barangan masuk keluar antara dua negara.

"Dengan adanya dasar yang lebih jelas dan terkini, ianya akan dapat memudahkan anggota penguatkuasa kedua negara untuk menyelesaikan urusan mereka di sempadan. Jika dasar sudah jelas, maka bolehlah kita menambah baik fasiliti di sempadan semula seperti pemasangan alat pengimbas seperti yang ada di sempadan Johor -Singapura," katanya.

Selain pertemuan bersama Najib, Jokowi dalam lawatan sulungnya ke Sarawak akan turut menghadiri perhimpunan bersama warga Indonesia di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini pada jam 2 petang sebelum berlepas pulang.

"Ia dijangka dihadiri 6,000 warga Indonesia. Presiden Jokowi akan turut berdialog dengan warga Indonesia. Beliau seorang pemimpin yang sangat popular dalam kalangan warga Indonesia.

"Presiden Jokowi juga dijangka memberikan tanda penghargaan beliau kepada pemimpin Sarawak atas usaha kerajaan negeri menyediakan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) untuk anak-anak warga Indonesia di negeri ini," katanya.-21/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1088  tetamu dalam talian