15November2018

Najib, Irwan mengaku tidak bersalah tuduhan pecah amanah lebih RM6.6 bilion

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur Khamis atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6,636,065,000.
 
Najib, 65 dan Mohd Irwan Serigar, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan bersama-sama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.
 
Bagi pertuduhan pertama, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia masing-masing dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu iaitu sejumlah RM1.2 billion milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.
 
Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang telah diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik Kerajaan Malaysia, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.
 
Bagi pertuduhan ketiga mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa telah melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)”, milik Kerajaan Malaysia.
 
Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama atas jawatan sama telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.
 
Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik Kerajaan Malaysia.
 
Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia,Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 21 Disember 2016 bagi pertuduhan pertama dan kedua, pada 3 Ogos 2017 pertuduhan ketiga manakala pertuduhan keempat hingga keenam pada 10 Ogos 2017, 23 Ogos 2017 dan 18 Disember 2017 .
 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
 
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk K. Kumaraendran serta Datuk Geethan Ram Vincent bertindak bagi pihak Mohd Irwan Serigar. – 25/10/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 501  tetamu dalam talian