23Oktober2017

Maznah tinggalkan legasi kepimpinan, keusahawanan cemerlang...

Datuk Dr Maznah Abdul Hamid dikagumi kerana semangat kepimpinan dan keusahawanannya serta tokoh masyarakat disayangi yang terkenal dengan gelaran 'The Iron Lady'.

Dalam industri keselamatan yang dikuasai kaum lelaki, beliau meninggalkan nama sebagai pengasas Securiforce dan menerajui syarikat tersebut untuk menjadi antara syarikat menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan yang terbesar di Malaysia.

Seorang daripada usajawan wanita Melayu yang tersohor di Malaysia, keazamannya untuk berjaya dalam dunia perniagaan terserlah melalui kejayaannya membangunkan syarikat tersebut dengan hanya bermodalkan RM5,000 hasil duit simpananya.

Securiforce Group, yang beliau menjadi pengerusi eksekutif, sejak itu telah berkembang kepada lebih 65 cawangan dalam tempoh lebih 30 tahun dengan menawarkan pekerjaan kepada kira-kitra 6,000 orang ? hasil kejayaan seorang wanita yang dilihat sebagai simbol kuasa wanita yang berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa ''modal utama dalam perniagaan adalah diri anda''.

Allahyarhamah, 62, menghembuskan nafas terakhirnya pada 6 petang tadi di Institut Jantung Negara (IJN) di sini selepas menjalani pembedahan pada 28 Sept untuk membetulkan saluran pada injab jantungnya yang tersumbat.

Dilahirkan pada 18 April 1955 di Jerlun, Kedah, Allahyarhamah Maznah memperolehi ijazah PhD Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Keusahawanan, Motivasi dan Pembangunan Insan dari Central State University of New York.

Beliau juga bertanggungjawab bagi penubuhan Pusat Motivasi Maznah yang menjalankan seminar mengenai perniagaan dan pembangunan insan.

Ciri-ciri kepimpinan dan keusahawanannya yang cemerlang telah dimanfaatkan dengan sebaiknya apabila Allahyarhamah diberikan peluang untuk mengendalikan program motivasi melalui radio dan televisyen, mengukuhkan reputasinya sebagai seorang yang tidak keberatan berkongsi rahsia kejayaan dengan orang lain.

Memberi dorongan kepada orang lain ke arah kejayaan juga menjadi matlamatnya apabila Allahyarhamah menghasilkan sebuah buku bertajuk ''Motivasi Memburu Kejayaan'' (3K - Kejayaan, Kebahagiaan dan Kekayaan).

Di Securiforce, Allahyarhamah menyalurkan dedikasi dan keupayaan pengurusan untuk mempelbagaikannya ke dalam pelbagai anak syarikat yang terlibat dalam bidang seperti pembangunan hartanah dan logistik.

Allahyarhamah Maznah aktif dalam pelbagai organisasi sepanjang hayatnya dengan memegang jawatan-jawatan penting yang menepati keupayaan dan pengalamannya yang luas.

Antaranya, Allahyarhamah ialah naib presiden Persatuan Usahawan Wanita Dunia (FCEM), presiden Malaysian Association of Professional Speakers (MAPS) dan ahli Majlis Pelan Tindakan Pembangunan Ummah di Jabatan Perdana Menteri.

Allahyarhamah juga ialah ahli lembaga pengarah Golden Hope Plantations Berhad, ahli lembaga pengarah Yayasan Sultanah Bahiyah dan Felo Sekolah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia.

Allahyarhamah juga tidak kurang meninggalkan nama dalam politik termasuk atas kapasiti beliau sebagai ahli Majlis Eksekutif Wanita UMNO, Ketua Wanita UMNO Kedah dan pengerusi Biro Keusahawanan Wanita UMNO.

Atas sumbangan besarnya, Allahyarhamah menerima banyak penghargaan seperti Masterclass Women Entrepreneur of The Year pada Kongres SME & Anugerah Dinar Emas 2016; Anugerah Kepimpinan Ikon Cemerlang Asia Pasifik 2014; dan Entrepreneur Extraordinaire Award; Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2008.

Allahyarhamah meninggalkan suami Datuk Seri Shaheen Mirza Habib dan lima orang anak.- 5/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 849  tetamu dalam talian